Sejak keluar daripada mengendalikan penerbitan majalah, tiada lagi perkataan "PDF" menghantui otak pada setiap bulan. PDF adalah perkataan yang mencemaskan bagi editor yang belum menyiapkan majalahnya mengikut deadline, tetapi tidak bagi editor yang awal-awal sudah siap kerjanya! Saya dulu pernahlah juga beberapa kali tersenyum berbuntang mata kalau orang tanya, "Majalah kau sudah PDF?"

Kini, editor majalah pula bertanya, "Bila nak siapkan artikel?" Bukannya sebab artikel saya menarik sangat sehinggakan editor mahu sangat tulisan saya, tetapi saya yang mahu menulis. Kalau sudah berjanji, maka sangat wajarlah mereka telefon/sms meminta segera dihantarkan artikel.

Sekarang ini memanglah tidak dapat menulis artikel semasa waktu pejabat. Haram! :) Malam pun tidak larat. Yang sempat hanyalah pada hujung minggu. Maka si isteri saya pun terpaksalah menunggu di hadapan TV untuk keluar rumah sehinggalah saya siap menulis.

Gambar di atas adalah artikel yang tersiar di majalah Dewan Siswa keluaran Februari 2011. Terperanjat jugalah apabila editornya, Abd. Ghani Abu menge-melkan PDF artikel itu. Maka perlulah dipromosikan majalah yang menjadi pesaing majalah E@Siswa (Karangkraf).

Artikel itu berkaitan dengan inovasi. Saya percaya setiap hari orang berfikir mahu melakukan itu dan ini. Akhirnya apa yang setiap orang fikirkan itu akan dinilai; sama ada menjana keuntungan ataupun kepuasan. Ada orang mahu melakukan "itu" kerana mahu kesenangan material/duit. Ada juga yang melakukan "ini" kerana mahu kepuasan hidup.

Terus terang, saya masih lagi fasa melakukan "itu" kerana mahukan yang "A". Harap jugalah dalam hidup ini mahu mendapatkan yang "B" itu. Setakat ini, saya mampu memperoleh "B" itu apabila dapat menulis, menyunting buku - dan bahan itu tersiar atau diterbitkan. Rasa puas sungguh!

Apa-apapun, saya bersyukur masih lagi berupaya melakukan itu dan ini sehinggakan dikurniakan apa yang dimiliki kini. Saya percaya dengan ayat tujuh (7) Surah Ibrahim, "Jika kamu bersyukur maka Aku (Tuhan) akan menambah (nikmat) itu kepada kamu. Dan jika kamu engkar maka sesungguhnya seksa Aku amat pedih."

Saya sedang menghabiskan membaca himpunan artikel di dalam buku Malaysia-Lah terbitan Gerak Budaya. Saya suka membaca tulisan artikel orang muda (seperti saya? 29 tahun!) yang berbentuk santai, tetapi bercorak new journalism. Alangkah bagusnya kalau artikel sebegitu disiarkan di dalam akhbar tempatan. Barulah jualan akhbar Melayu boleh meningkat! Ada pula salahkan orang Melayu malas membaca hanya sebab jualan akhbar merudum. Sangat tidak logik!

Lagi satu buku yang menarik perhatian saya adalah buku Rojak Fakta Malaysia terbitan ZI Publications. Separuh saya habiskan membaca buku ini semasa melepak di Kinokuniya pada petang Jumaat selepas keluar opis. Mahu sahaja membeli, tetapi biasalah... akhir bulan. Padahal bukanlah mahal sangat, RM30 sahaja. Bajet/belanjawan! :)

LAT Kampung Boy Sebuah Muzikal

Rasanya kini semua orang sudah tahu, atau sudah mahu mengetahui apa itu ITNM. Core business ITNM adalah terjemahan. Namun apa kaitannya untuk mementaskan teater di Istana Budaya? Kalau DBP itu ada juga rasionalnya mementaskan teater perdana pada setiap tahun, kerana fungsinya untuk memartabatkan bahasa dan sastera Malaysia.

LAT Kampung Boy Sebuah Muzikal boleh dikatakan diadaptasi daripada novel grafik karya Datuk Lat, Kampung Boy. ITNM pula telah menterjemahkan buku itu kepada dua bahasa (Arab dan Jerman), selain 11 bahasa lain oleh penerbit tempatan dan antarabangsa.

Pendek kata, tidak keterlaluan jika dikatakan Kampung Boy telah berperanan besar mempromosikan Malaysia di sekeliling dunia. Disebabkan itulah, bos-bos di tempat saya bekerja merasakan betapa perlunya karya ini diangkat lagi ke tempat sewajarnya supaya ia kekal "hijau" (evergreen) - malar.

Kalau orang putih boleh mengekalkan hayat Shakespeare dengan kerap mementaskan/memfilemkan Hamlet, Romeo and Juliet, dan Pride and Prejudice - kalau Harry Potter lebih terkenal selepas ia difilemkan - mengapa tidak Kampung Boy diubah ke bentuk lain, supaya buku itu dipanjangkan hayatnya lagi.

LAT Kampung Boy Sebuah Muzikal akan dipentaskan pada 16 Mac hingga 3 April 2011. Maka sekarang ini, kami-kami di ITNM tiada sehari pun yang berlalu tanpa melakukan gerak kerja pelaksanaan untuk pementasan itu. Kalau Zaiti sibuk melakukan itu ini dan berhubung dengan orang Hans Isaac (Tall Order Productions), saya pula menyiapkan itu dan ini. Afiq pun bingung itu ini selain sibuk mereka bentuk Buletin ITNM untuk Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2011. Itu belum masuk bos-bos (En. Khair & Pn. Zini) yang tak kering-kering berfikir melakukan itu dan ini.

Maka dipersilakanlah menonton nanti ya. Kami tidaklah mahu memberikan bilangan bulan dan bintang untuk teater ini, tetapi kami yakin teater ini akan berada pada kelas yang tersendiri. Lawak Harith Iskander berada di kelas tersendiri, lawak Awie pun ada kelasnya yang lain, lawak Hans Isaac pun sangat "kelas" dalam Cuci dan mana-mana filem.

p/s Tiada yang percuma di dunia ini termasuklah tiket ini ya! Sila-silakan klik Ticket2U.biz untuk membeli tiket.

Jelas ketara wartawan akhbar kini sudah agak kritikal, ala-ala penulis blog. Penulis akhbar kini lebih berbentuk new journalism, walaupun teknik ini sudah diperkenalkan pada 1960-an. Antara wartawan tempatan yang kini ketara menggunakan teknik yang terdahulu dipopularkan oleh penulis majalah Tempo dan Gatra adalah Zin Mahmud, Ku Seman, dan yang terkini wartawan Utusan di Indonesia, Shaharudin Mustaffa.

Namun kebanyakan wartawan hiburan kini memang benar-benar menggunakan teknik new journalism - yang lebih santai, tidak menggunakan perkataan yang bombastik, lebih intensif dan menimbulkan rasa dramatik dalam susunan ayat.

Yang jelas, wartawan hiburan tidak mudah "dibeli"! Setiap laporan yang ditulisnya kebanyakannya benar dan jujur dari rasa hatinya. Walaupun kita baik dengan wartawan itu, tidak mungkin tulisannya menyokong kita 100 peratus.

Kejujuran itulah yang saya rasa menjadikan filem Ngangkung mengaut RM8 juta, dan 2 Alam kurang RM500 ribu walaupun promosi filem Dr. Rozmey ini sangatlah dahsyat. Saya pernah berborak dengan staf Utusan yang menjaga urusan pembelian iklan. Katanya, "Dr. Rozmey antara pembeli iklan Kosmo yang tertinggi!"

Walau sehebat manapun iklan promosi yang dilaksanakan, penonton filem tetap membaca ulasan (ada perkataan "reviu"?) daripada mana-mana bahan. Paling mudah adalah ulasan filem di akhbar. Kalau rasa ulasan filem itu semacam berat sebelah, banyak lagi tulisan ulasan sesebuah filem yang boleh dikaji - setentunya blog.

Filem Ngangkung mendapat ulasan yang baik sebagaimana filem Adnan Sempit. Namun promosi yang paling banyak membantu filem ini adalah "mulut ke mulut". Dari seorang kawan yang pergi menonton hanya sekadar untuk berhibur merehatkan diri, diceritakan pula kepada kawannya jika filem itu bagus dan tidak rugi ditonton.

Promosi mulut ke mulut ini sebenarnya agak sukar, tetapi sangat berbaloi! Asalkan filem atau teater yang dipersembahkan itu menarik, ia sekali gus menjadikan promosi sebegini menjadi lebih mudah.

Teater Lat Kampung Boy Sebuah Muzikal akan dipersembahkan pada 13 Mac hingga 3 April 2011 di Istana Budaya terbitan ITNM dan Tall Order Productions, dengan kerjasama kementerian pimpinan Datuk Seri Rais Yatim. Sudah tentu promosi untuk teater ini akan dilaksanakan dengan sebaik-baiknya untuk menarik penonton memenuhi Panggung Sari Istana Budaya itu.

Namun semua orang percaya, pementasan teater yang baik akan dihargai penonton sehingga tidak segan silu mewara-warakan/menguar-uarkan kepada orang lain untuk datang, "Rugi kau tak pergi tengok teater Lat itu!" - Promosi mulut ke mulut.

Itulah yang cuba dilakukan dan diperoleh. Insya-Allah.