Saya lulusan IRK (baca: agama) dari UIA.

Tamat belajar, sempatlah sebulan menganggur. Itupun sebab sebulannya cuti hari raya. Terima kasih kepada Kak Martinelli kerana merekomenkan saya kepada Abe Nazrul (PTS) yang kebetulan mencari staf.

Selepas setahun di PTS, syukur kemudiannya diterima bekerja di DBP. Puan Padilah Ali tanya, "Kenapa you keluar PTS?" Saya jawab, "Kerana gaji." Saya hidup merantau di KL, lebih tepatnya di Subang Jaya yang memang terkenal sebagai kawasan elit. Itupun sebab menyewa di situ bersama abang sulung saya.

Di DBP lah saya menajamkan skil menulis, kerana memang editor majalah digalakkan menulis sendiri di dalam majalah yang dikendalikan. Kemudian di situ jugalah saya mengenali beberapa wartawan akhbar. Antara yang terus dihubungi seperti Khuzairi Ismail (Utusan) - kerana beliau selalu menulis untuk majalah DBP. Nazmi Yaakob (Berita Harian) pula sebab beliau kerap lepak di DBP - sama ada untuk buat liputan mahupun bertemu kawan-kawannya.

Kini di ITNM, saya diberi tanggungjawab sebagai pegawai komunikasi (PR) - bukan Pakatan Rakyat.

Petang tadi saya mendengar Kerusi Panas di Radio 24 BERNAMA. Kalau mengikut apa yang dikatakan oleh panel jemputan, Prof. Dato' Mohd Hamdan Adnan, Presiden Institute of Public Relations Malaysia (IPRM), mungkin akan datang hanya mereka yang memiliki akreditasi profesional PR (APR) sahaja yang boleh melakukan PR di mana-mana organisasi.

Layaknya menjadi pegawai PR samalah kelayakan yang diperlukan untuk menjadi peguam, akauntan, mahupun arkitek - yang memerlukan sijil kelayakan akreditasi.

Kata Prof. Hamdan, di Malaysia kini cuma ada 63 orang sahaja yang memiliki APR. APR ini samalah seperti IR (insinyur) bagi jurutera.

Saya tidak ada latar belakang pendidikan PR. Belajar PR pun daripada pengalaman. Di opis saya, ada dua orang sahaja yang latar pendidikannya ada kena mengena dengan PR, iaitu Shida dan Zaiti (mass comm.). Maka perlulah mereka mengambil APR untuk melayakkan mereka mengamalkan PR pada masa akan datang. Itupun kalau IPRM bertegas mahu melaksanakan APR untuk pengamal PR.

Saya? Mungkin menjadi ustaz agaknya. Lulusan agama...

YAB Najib akan merasmikan MAHA 2010 pada hari ini. Acara dwitahunan anjuran Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani itu adalah hasil tangan YAB Muhyiddin semasa beliau menerajui kementerian (pada tahun 2006) yang dulunya orang kata kementerian low class.


Faktanya, MAHA diadakan jauh dari Kuala Lumpur, iaitu di Serdang. Serdang adalah tempat terletaknya cawangan gedung buku terbesar Indonesia, iaitu Gramedia (di Mines) - yang gosipnya tidak berapa untung sangat.

Dewan pameran untuk MAHA adalah seluas 42,000 meter persegi. Kawasan pameran terbuka pula seluas 30 hektar.

Orang ramai yang hadir ke MAHA 2008 adalah sebanyak 1.2 juta pengunjung dengan jumlah pempamer sebanyak 1,197. Sebagai perbandingan, Pesta Buku KL pada tahun 2008 mencatatkan kehadiran pengunjung sebanyak 2.2 juta orang sebelum menurun kepada 1.8 juta orang pada tahun 2009.


Jika benar rekod catatan oleh penganjur Pesta Buku KL, acara tahunan itu lebih banyak mencatat kehadiran pengunjung daripada MAHA - walaupun ia diadakan di PWTC yang seluas 253,000 kaki persegi.

Namun yang kita lihat sendiri hari ini, acara pesta buku yang sangat ditunggu-tunggu oleh sesiapa sahaja pada setiap Mac/April tidak begitu menyerlah impaknya jika dibandingkan dengan MAHA. Hal yang nampak jelas adalah kurangnya promosi Pesta Buku KL.

Saya rasa ia berpunca daripada dua sebab; pertama, mungkin penganjur merasakan dengan promosi ala kadar pun, sudah mencatatkan pengunjung lebih sejuta - jadi mengapa perlu promosi bermati-matian. Kedua, mungkin juga sebab kurangnya peruntukan untuk hal promosi.

Hakikatnya, boleh dikatakan sejak diadakan Pesta Buku Antarabangsa (antarabangsa ke?) Kuala Lumpur, ia tidak pernah gagal dengan jumlah pengunjung dan jualan. Malah boleh dikatakan belum ada pesta buku lain di Malaysia yang mampu menyaingi pesta buku itu. Mungkin sudah tiba masanya penganjur Pesta Buku KL cuba mengambil risiko untuk mengadakan acara itu di tempat yang lebih besar. "Pesta Buku KL sudah sinonim dengan PWTC" tidaklah boleh dijadikan asas. Kalau 10 tahun lagi pun, alasan itu tidak lagi relevan.

Di PWTC kini bukanlah tidak ok, tetapi sudah timbul beberapa masalah yang tidak "sedap" untuk beberapa pihak. Antara pempamer sendiri tidak puas hati dengan jumlah gerai yang diberikan. Pengunjung pun tidak seronok dengan lorong pejalan kaki yang "dipaksa" ke gerai yang terpencil lokasinya. Kalaulah sebegini konsepnya di mana-mana pusat membeli-belah, tentu sudah lama lingkup.

Di MAHA, kemudahan OKU pun disediakan! Yalah... Manalah tahu ada pakcik makcik yang sudah tidak larat berjalan pun mahu melihat lembu kambing ternakan anaknya di MAHA.

YAB Muhyiddin yang dulu pengasas MAHA kini sudah berada di KPM, yang menaungi Jawatankuasa Pesta Buku KL. Besarlah harapan sekiranya YAB Muhyiddin dapat melakukan sesuatu untuk Pesta Buku KL ini. Dalam Radio 24 semalam, saya dengar YB Noh Omar anggap MAHA ini sebagai KPI kementeriannya, mungkin sudah tiba masanya YAB Muhyiddin menjadikan Pesta Buku KL sebagai salah satu KPInya di KPM.

Ehem... Pempamer antarabangsa MAHA adalah sebanyak 22 negara. YB Noh sasarkan jualan tahun ini sebanyak RM15 juta - RM150 juta pula daripada MOU. Ini barulah antarabangsa!

Dua perkara yang sudah lama saya tidak buat; menulis artikel dan menulis blog.

Artikel saya tidaklah hebat sangat, dan artikel blog saya pun tidaklah sampai melayakkan saya menjana duit iklan daripadanya.

Artikel yang tersiar di ruangan fokus Dewan Kosmik Disember 2010 inipun sudah lama ditulis. Percaya ataupun tidak, saya siap menulis artikel itu pada Februari 2010.

Pada masa itu, buku Menyangkal Kiamat 2012 terbitan Kharisma Network memang sedang hangat di kedai buku. Tetapi sengaja saya tidak membeli buku itu semasa menulis artikel yang diminta Kak Norizan (Editor Dewan Kosmik) itu. Risau kalau-kalau orang mengata saya menciplak isi kandungan daripada buku itu.

Mujur saya sempat tonton filem 2012 semasa ditayangkan di pawagam. Walaupun memang mengarut, tetapi bolehlah sekadar hiburan (baca: melegakan tekanan) selepas pulang dari kerja.

Tup-tup... Alexander: 2012 terbitan PTS pula laku di mana-mana kedai buku bermula September 2010. Masa lihat buku PTS itu di kedai buku, terus tergetus hati, "Kenapalah aku tak tulis buku tentang isu ini?!"

Kalau ada orang bertanya kenapa sudah lama tidak menulis artikel dan blog, jawapan "kasar" saya, "Malas!" Maafkan saya ya Puan Nik Khartina yang terkena saya menjawab sebegitu. :) Sebenarnya sejak awal tahun 2010, program dan aktiviti ITNM back to back (dalam Dewan Eja Pro: saling membelakangi [yang tepat: berturutan/bertubi-tubi/bersambung-sambung]).

Saya suka menulis. Itu faktanya. Cemburu melihat kawan-kawan yang asyik tersiar artikel di media. Saya suka menulis sebab kata Shaharom TM Sulaiman, "Menulis boleh meredakan sakit, menulis boleh menghilangkan stres." Memang kini tekak saya masih perit dan batuk-batuk. Semalam MC demam.

Kerana itulah sejak tahun pertama di UIA, saya tidak pernah henti menulis. Mujur artikel sulung terus tersiar di majalah Minda. Terima kasih Abg. Izra (bekas wartawan Minda - kini cikgu!). Saya masih ingat pertama kali dia menelefon saya untuk memaklumkan artikel saya tersiar, pada masa itu saya sedang membaca buku Dr. Danial, Perubatan Islam dan Bukti Sains Moden di atas katil, Niswan pada masa itu sedang mengeruh! Akhirnya kini Niswan di IJN, entah apa nama tugasannya. Katanya, memberhentikan jantung pesakit sebelum pembedahan.