Saya pernah menyertai Seminar Pencinta Buku yang kali pertama diadakan di Perbadanan Perpustakaan Shah Alam pada tahun 2006. Masa itu saya bertugas di PTS Publications. Saya masih ingat pembentang kertas kerja pada masa itu antaranya Jaafar Abdul Rahim, Zin Mahmud, Shaharom TM Sulaiman, Ainon Mohd dan lain-lain.

Bos saya pada masa itu, Abg. Arief (staf PTS kini memanggil Encik Arief) yang duduk di belakang memberikan SMS yang meminta saya memberikan apa-apa soalan kepada ahli panel. Entah apa sebabnya dia meminta sedemikian. Apa bos minta, itu adalah arahan. Jadi saya memberikan soalan kepada Zin Mahmud (pada masa itu di Utusan Malaysia) dengan merungut kerana buku berbahasa Melayu sangat kurang diulas dalam ruangan Rencana Utusan Malaysia. Asyik-asyik buku berbahasa Inggeris. Nisah Haron yang menjual buku di sebelah mikrofon pun mengangguk-angguk yang setuju agaknya.

Dua seminar yang sama selepas itu tidak dapat saya hadiri. Saya telah beralih kerja ke DBP pada masa itu. Mungkin sibuk dengan deadline penerbitan majalah. Ataupun sudah bosan dengan terlalu banyak seminar yang dianjurkan di DBP. haha!

Bagi kali yang keempat, seminar ini bertukar tempat ke ITNM. Nama seminar pun ditambah "Malaysia 2010" di hujungnya - SEMINAR PENCINTA BUKU MALAYSIA 2010. Namun konsep seminar ini masih tetap sama, iaitu membincangkan perihal dunia perbukuan. Cuma fokusnya kini lebih kepada buku terjemahan.

Semalam Syed Nurulakla (penterjemah buku Pengembaraan Ibn Battutah) menghubungi saya untuk mengesahkan kehadirannya. Dia sangat teruja dapat peluang membentangkan kertas kerja di seminar itu. Katanya, "Memang saya sangat suka dengan judul itu. Itu memang minat saya!" Judulnya, "Pengalaman Estetika Membaca Karya-karya Terjemahan: Perspektif Penterjemah". Kalau selama ini ada orang yang merungut membaca buku terjemahan, kali ini kita akan berkongsi pengalaman dari tiga panel yang berlainan, iaitu dari perspektif penterjemah itu sendiri (Syed Nurulakla), dari kaca mata pembaca buku (Rahimi Saad), dan dari pandangan penulis pula (Faisal Tehrani).

Yang pastinya, akan ada banyak lagi ilmu menarik daripada Dato' Lat, Encik Khair Ngadiron, Encik Shaharom TM Sulaiman, Prof. Abdullah Hassan, Puan Zinitulniza, Encik Ahmad Kamil Zuhairi, dan Ustaz Abdullah Al-Qari yang dapat dikongsi bersama peserta.



1 komen:

Bunnybaby berkata...

Salam.

Boleh saya buat sedikit pembetulan? Yang tepat ialah Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS), bukan Perbadanan Perpustakaan Shah Alam. Hehe!

Saya teruja dengan suasana ITNM semasa menghadiri seminar ini. Sungguh nyaman. Kebetulan ketika waktu tengah hari, hujan turun, menyejukkan cuaca persekitaran.

Sekalung tahniah kepada ITNM atas kelancaran dalam penganjuran seminar ini.

Juliana
PPAS, Shah Alam.