Hujung minggu sudah saya dan isteri merayau di kawasan Setia Alam, Shah Alam, selepas melihat ekspo perumahan PKNS di SACC Mall.
Selepas meredah becak untuk melihat keadaan rumah sebenar Ayu Puri, di Alam Nusantara yang berharga RM376K (sangatlah mahal - mengikut skala pendapatan sayalah), terpaksalah membasuh kereta yang terkena percikan becak ataupun lecak di Tesco Klang.
Barulah saya tahu yang Gramedia di situ telah lama ditutup. Gramedia, penerbit tersohor yang sangat gah dengan penerbitan dan kedai bukunya di Indonesia pun boleh "tutup kedai" di Malaysia.
Sebagai perbandingan, tidak ada mana-mana penerbit buku di Malaysia yang mempunyai penerbitan TV dan radio sebagaimana Gramedia. Cuma PTSlah yang sangat aktif bergerak melalui YouTube dan "radio". Mungkin Karangkraf bolehlah dikatakan sama dengan Gramedia yang juga menerbitkan akhbar Sinar Harian (Gramedia: Harian Kompas). Syarikat penerbitan yang punya hotel? Di sini belum lagi sampai ke tahap seperti Gramedia.
Sekali fikir, memang strategi Gramedia membuka cawangan di kawasan Klang ada bijaknya - kerana jumlah warganegara Indonesia di situ. Cuma mungkin mereka tidak mengambil faktor kuasa membeli warga Indonesia di situ - yang mungkin kurang sanggup berbelanja lebih untuk bahan bacaan. Pak mentua saya, Haji Ahmad Abdul Kadir pun tutup kedai bukunya di Meru - yang dibuka hasil wang pencennya.
Namun mengapa pula ada juga cawangan Gramedia di Mines. Terus terang saya katakan, walaupun rumah saya tidak jauh daripada Mines, tidak pernah ada "perasaan" mahu ke situ. Saya lebih selesa membeli belah di Jusco Cheras Selatan ataupun di Carrefour Bandar Tun Hussein Onn. Maaf untuk dikatakan, Mines bagi saya tidak ubah seperti Summit di USJ.
Mungkin juga sebab pembukaan Gramedia di Mines untuk menarik penduduk Melayu dari kawasan Kajang dan Bangi. Saya, orang Melayu yang ada darah Cina pun tidak gemar ke Mines.
Pada pandangan saya, peminat buku Indonesia lebih suka membeli buku di kawasan Jalan Masjid India, terutamanya Pustaka Indonesia - sama ada di kedai bawah ataupun di kedai tingkat 3. Harga pula boleh lebih kurang dengan pak cik itu.
Kalaulah Gramedia menyasarkan pembelinya daripada golongan warga Indonesia yang kaya (Cina Indonesia) yang kebanyakannya tinggal di Subang Jaya ataupun USJ, rasanya kurang tepat. Kalau sudah kaya, baik mereka pulang ke Indonesia, dan membeli buku di sana. Lebih-lebih lagi dengan tukaran Ringgit Malaysia ke Rupiah Indonesia yang sangat tinggi. Lagi banyak untung.
Apa-apapun, lokasi sangat memainkan peranan penting, sebagaimana mahu membeli rumah. Mungkin Gramedia perlu mencari tapak kedai yang sesuai di Jalan Masjid India. Itupun kalau berani bersaing dengan Pustaka Indonesia, Pustaka Mukmin dan Pustaka Minerva di situlah.
6 komen:
malah Borders kat Berjaya Times Square pun tutup satu tingkatnya....agaknya kecewa sangatkah mereka dengan sikap membaca rakyat kita?
Tuan Syakirin,
Saya rasa, menjual buku ini sama dengan meniagakan apa-apa sahaja barang. Yang penting adalah lokasi dan promosi.
tidak tahu pula gramedia di setia alam sudah ditutup.
selalu ke sana sebab tinggal di shah alam.
Tapi gramedia di Malaysia tidak menjual buku indonesia dengan banyaknya dan banyak judul yang dibawa tidaklah begitu menarik kecuali pramoedya :)
Anuar,
Teringat pada 4P pemasaran. Hmm....
Namun dari pemerhatian sendiri, orang Malaysia tidak menggalakkan budaya membaca (saya dilihat pelik membaca di tepi jalan sambil menunggu pemandu menjemput!).
Kedai Buku DBP - lokasi kedai buku paling jahanam sekali di dunia. :)
Carilah tapak baharu, weh!
Malaysia bukan tak minat membaca, tapi harga buku mahal nauzubillah... melampau sampai RM40...sape sanggup beli buku nipis RM40?!
Catat Ulasan