Walau bagaimanapun, jumlah kehadiran pengunjung ke PBAKL sebenarnya boleh diragui. Masakan tidak, sistem pengiraan masih lagi menggunakan "alat pengira tasbih", sedangkan Pesta Buku Popular (yang diadakan setiap tahun di KLCC) telah maju dengan mengira pengunjung melalui jualan tiket. Lebih telus!
Dengan menggunakan "alat pengira tasbih", dan meletakkan petugas yang menghitung itu di setiap pintu masuk PWTC, mungkin juga orang yang bekerja di PWTC pun dikira sama!
Saya telah lama bertugas di PBAKL ini, sejak belajar di UIA yang bertugas sebagai pekerja sambilan dengan Saba Islamic Media. Pada masa itu, setiap pembeli buku di PBAKL biasanya akan diberikan buku nota, pen, ataupun rantai kunci (key chain) sebagai hadiah. Kalau peraduan pula (khususnya Karangkraf), orang yang bertuah akan diberikan beg yang berisi majalah ataupun buku.
Namun kini PBAKL sudah banyak berubah. Penganjur sudah berani melabur untuk memberikan motosikal kepada pengunjung, ITNM tahun lalu pula memberikan kereta kepada pembeli bertuah, malah banyak lagi gerai yang memberikan pelbagai hadiah, selain diskaun.
PC Fair pun tidak pernah memberikan hadiah lumayan sebegini. Paling mahal pun, pengunjung PC Fair akan membawa pulang hadiah berbentuk komputer (laptop) juga. Saya pernah bertuah mendapat rollerblade.
PBAKL tahun ini pula, ada pelbagai aktiviti yang akan dianjurkan di gerai ITNM. Sebelum PBAKL, ITNM menganjurkan pertandingan mengulas buku ITNM di Facebook/blog. Hadiah keseluruhan, RM10,000! Hadiah pertama, RM5,000, yang setanding pula dengan Hadiah Sastera Perdana Malaysia. Pertandingan mengulas buku tidak pernah diadakan di Malaysia. Malah tidak pernah ada mana-mana pihak memberikan pengiktirafan kepada pengulas buku, filem, ataupun lain-lain bidang. Pengkritik sastera sahaja yang diiktiraf.
Padahal pengulas memainkan peranan penting dalam mana-mana industri. Filem Adnan Sempit mendapat sambutan hangat, malah mencatat rekod antara filem "pecah panggung" kerana mendapat ulasan yang baik (bak kata Meor Shariman). Begitu jugalah dengan Nur Kasih yang dipromosikan dengan baik di blog, Facebook, dan akhbar.
Buku La Tahzan, Mukaddimah Ibn Khaldun, Shit, dan banyak lagi buku juga "hebat" kerana diulas baik oleh banyak pihak. Orang yang mengulas buku ini biasanya jujur atau telus menulis ulasannya. Kalau buku itu baik, buku itu akan digambarkan secara positif, begitu jugalah jika sebaliknya. Cuma yang banyak "ulasan" di akhbar kini bukannya ulasan buku sebenar. Saya menganggapnya sebagai blurb kerana ulasannya terlalu pendek.
Saya tetap meminati ulasan buku tulisan Shaharom TM Sulaiman dan Jaafar Abdul Rahim. Ulasan buku mereka tidak hanya tertumpu kepada buku yang diulas itu, tetapi turut mengaitkan dengan buku lain yang sama konsep. Ulasan Jaafar Abdul Rahim lebih sedikit santai kerana suka mengaitkan dengan situasi semasa. Ulasan buku Zulkifli Salleh pula, rasanya tidak sampai tahap saya membaca ulasannya. Mungkin terlalu "tinggi"!
Namun penerbit buku di Malaysia (yang tiada penerbitan majalah) kini agak terhad untuk mendapat tempat/platform ulasan buku. Dalam majalah DBP, ruang ulasan buku kini terhad hanya untuk buku terbitan DBP. Begitu jugalah dengan majalah terbitan Karangkraf, buku terbitan Alaf 21 diutamakan dalam majalah Karangkraf. Mujur akhbar tempatan tidak memberikan had kepada buku mana-mana penerbit untuk diulas.
4 komen:
peraduan galakan budaya membaca yang bijak!
Seperti serampang dua mata, ulasan yang dibuat kepada sesebuah buku bukan sahaja menceritakan serba sedikit mengenai buku tersebut, tetapi juga secara sedar mahupun tidak merupakan satu cara "marketing" yang berkesan.
Penulis dapat mengetahui maklum balas buku yang dikarangnya daripada pengulas buku yang berautoriti, dan pembaca dapat menebak serba sedikit apa yang bakal dibacanya melalui ulasan yang berautoriti.
Pendapat saya, ulasan buku memang sangat penting untuk industri buku.
wah,bestnya peraduan tu
pertandingan ulasan buku tulisan azli shukri akan diadakan tidak lama lagi...hadiahnya RM25 000 sahaja...
Catat Ulasan