Minggu lalu saya dan dua rakan pejabat termasuk bos menghadiri bengkel "Presentation & Public Speaking Skills". Tidak lain dan tidak bukan tujuan kami ke bengkel ini bagi memperbaiki skil pengucapan awam dan pembentangan.

Penceramah ada menyentuh tentang elemen penggunaan teori Aristotle Ethos-Path dalam perdebatan. Namun saya berlainan pendapat dengannya dan menyatakan teori Aristotle itu sekadar menggunakan rasional atau logik, tiada sebarang bukti atau dalil bagi mengukuhkan isi perdebatan.

Dua perkara inilah yang membezakan antara perbualan orang bijak dengan orang bodoh. Orang bijak biasanya berborak atau berbual tentang perkara yang ada fakta, bermotivasi, dan menggembirakan. Namun orang yang bodoh biasanya kata-katanya ada elemen keluh-kesah, banyak alasan, umpatan, fitnah, dan sia-sia. Senang kata, apa yang dibicarakan itu hanya dirasakan "sedap" dalam fikirannya sendiri, tanpa memikirkan akibat yang akan terjadi.

Dulu saya tinggal di kuarters kerajaan. Saya pernah bertanya emak, "Kenapa emak tidak duduk berbual dengan jiran petang-petang begini?" Jawab emak, "Malaslah! Banyak sangat orang suka buat 'ketupat'."

Biasanya pada masa santailah kata-kata sia-sia ini dibicarakan. Kalau bekerja, biasanya kafeteria atau warung akan menjadi lokasi hentam-menghentam, menghambur cacian dan mengumpat. Saya sebagai umat Melayu merasakan fenomena ini sudah biasa dilakukan oleh bangsa sendiri.

Saya suka mengambil contoh bangsa lain, contohnya Jepun. Saat-saat melepak seperti di kedai makan akan dihabiskan dengan mencari strategi untuk berjaya. Paling tidakpun, beliau akan melahirkan rasa tidak puas hati di hadapan orang yang dia tidak puas hati itu.

Namun sebenarnya dalam Islam sendiri telah lama menjelaskan perbualan antara orang bijak (berakal) dengan orang bodoh (jahil) ini. Dalam Quran, orang bijak ini digambarkan daripada orang yang baik, manakala orang bodoh adalah orang jahat.

Contohnya dalam dialog antara Qabil dan Habil (surah al-Maidah: 23-32), Qabil dengan kata ancaman kepada Habil, "Aku akan membunuhmu kerana korbanmu diterima, tetapi tidak pula korbanku." Jelas memaparkan kejahilan Qabil mahu membunuh Habil hanya kerana korbannya tidak diterima Allah. Sebab utama kerana hasad dengki!

Habil dengan relaks sahaja menjawab, "Bahawasanya Allah menerima korban daripada orang yang bertakwa", kerana Habil memang seorang yang baik lagi bertakwa.

Begitu juga dengan kisah Qarun dengan penasihatnya dalam surah al-Qasas: 76-83. Salah satu nasihat para penasihatnya, "Janganlah terlalu gembira dan bermegah dengan harta dan nikmat yang ada pada kamu, yang digunakan untuk perkara fasik dan maksiat..."

Namun Qarun dengan sombong lagi bongkak menjawab, "Sesungguhnya aku diberikan harta kekayaan ini kerana kepandaian yang ada padaku!"

Banyak lagi contoh yang boleh dibawa untuk menggambarkan antara kata-kata orang bijak dengan orang bodoh. Biasanya orang bijak akan berbual perkara baik hasil daripada pembacaan yang banyak, tetapi tidak bagi orang bodoh. Orang bodoh akan lebih suka mendengar dan membuat interpretasi sendiri tanpa mengkaji.

Saya bertanya kepada penceramah bengkel itu, "Bagaimana kita mahu selaraskan (tally) apa yang difikirkan dengan ucapan kita?" Jawapannya mudah, "Kita perlu selalu berlatih!" Maksudnya untuk bercakap perkara baik yang dicernakan daripada akal, perlulah selalu berlatih berborak perkara baik.

7 komen:

Adliff berkata...

Salam,

Anuar,

Emak saya dulu pun begitu. Dia selalu kata, dari buat "ketupat" baik meraut lidi kelapa sawit jadi penyapu sewaktu masa santai sekitar jam 4-6 petang.

Kalau saya tiada dapat berkata yang baik, diam dan berfikir tentang hidup opsyen yang lebih baik.

Adlan berkata...

Salam. Biasalah kalau tidak puas hati dengan staf atau bos. Saya pun dah malas da. Kalau diorang nak cakap, biar jela. Senyap itu lebih baik dari berkata2

Unknown berkata...

Tuan Aliff,
Itulah yang sebaik-baiknya kita lakukan.

Tuan Adlan,
Kalau seorang dua sahaja yang mengata bos, itu biasa. Tapi kalau semua staf mengata bos, memang bos itu ada masalah.

Ticer Syah berkata...

kadang2 berbicara dengan orang bodoh dan gila ni akan menyakitkan jiwa.. saya baru aje lepas bertekak dengan orang bodoh.. poodles memang tak boleh nak diajar..huh!

kita cakap cara baik, mereka balas secara kejam dan kurang sopan..sungguh HOH la.. hehehe..terEMO pulak..kuikui..

dan satu lagi orang Melayu suka sangat bersangka buruk..tu pasal hati tak senang, jiwa melara dan berwarna hitam.. semoga kita tak termasuk dalam golongan itu..hoh sungguh!

err..kena ke topik asal eh?

hans berkata...

yups
buat ketupat tu memang orang2 melayu suka
tapi itu salah satu cara untuk merapatkan silaturahim barangkali
sebenarnya mendengar tu tak salah cuma jangan menyebarkan
dengar sebagai pengajaran dan teladan dan xsemestinya terima bulat2 apa yg diborak

Unknown berkata...

Cikgu Syahidah,
Lebih elok abaikan sahaja bercakap dengan orang yang akan menyakitkan hati kita. Hakikatnya semua bangsa ada prasangka diri, tapi kita perasan orang Melayu sahaja sedemikian rupa kerana kita berada dalam lingkungan ini.

Tuan Hans,
Mendengar "ketupat" pun sama-sama mendapat labanya. Apa kata semasa si dia buat "ketupat", kita ubahkan menjadi "lemang"!

salida amran berkata...

begitulah orang kita ramai yang kurang membaca, tetapi masih mahu untuk terus berkata-kata...
sudahnya, jadilah proses membuat ketupat setiap hari walaupun bukan di musim hari raya..eheh