Malam tadi saya menghadiri Majlis Anugerah Buku Kebangsaan Malaysia 2008 anjuran Majlis Buku Kebangsaan Malaysia (MBKM) di Hotel Seri Pacific Kuala Lumpur.

Menurut Pengarah MBKM, Encik Abdul Halim Ismail, anugerah ini dihidupkan kembali selepas 10 tahun tidak diadakan. Namun menurut Faisal Tehrani yang duduk di sebelah saya, dia baru memperoleh anugerah yang sama untuk buku novel 1515 belum sampai 10 tahun lalu. Entahlah...

ITNM menerima Anugerah Buku Terjemahan bagi buku Panduan Diplomatik yang diterbitkan bersama Penerbit UUM. Senarai penerima anugerah boleh dirujuk di blog Uthaya ataupun blog Syafiq. Buku terbaik dianugerahkan kepada buku Azah Aziz (isteri Ungku Aziz), iaitu Rupa dan Gaya: Busana Melayu.

Kalau anugerah diberikan kepada filem ataupun seseorang pelakon, ia menggambarkan nilai kualiti yang terdapat dalam filem ataupun gaya pelakon tersebut. Ada juga anugerah filem yang dinilai melalui populariti. Sekiranya sesebuah filem itu memperoleh anugerah, maka secara tidak langsung filem itu akan laris. Begitu jugalah dengan pelakon yang akan senantiasa menerima tawaran berlakon daripada mana-mana produser.

Namun tidak semestinya! Filem Wayang tidak laku di pawagam, tetapi tetap menang besar di Anugerah Skrin 2009 termasuklah filem terbaik.

Di dunia ini ada pelbagai anugerah buku. Antara yang terkenal seperti Hadiah Nobel Kesusasteraan, Booker Prize, dan Pulitzer Prize. Tidak lain dan tidak bukan anugerah buku ini diberikan bagi menghargai nilai jerih yang diusahakan oleh penulis. Kelebihan lain kalau menerima sebarang anugerah buku:
  • Meningkatkan kredibiliti
  • Meningkatkan kebolehlihatan (visibility)
  • Siaran akhbar dan promosi media percuma
  • Merangsang semangat editor, pemasaran dan jualan
  • Menampal pelekat/logo anugerah di kulit hadapan dan bahan promosi
Bagaimana pula dengan jualan buku selepas menerima anugerah tersebut?

Pada tahun 2002, Richard Russo memenangi Pulitzer Prize bagi buku Empire Falls. Jualan bukunya meningkat 6,500 peratus sehinggakan bukunya dicetak lagi sebanyak 99,000 naskhah. Namun tidak semua pemenang Pulitzer Prize bertuah! Pada tahun 2006, jualan buku March oleh Geraldine Brooks sekadar meningkat sebanyak 86 peratus sahaja.

Tetapi kalau artis sekadar memegang buku, buku itu akan laris seminggu kemudian. Tidak perlu apa-apa anugerah pun. Buku The Power of Now yang dipegang Paris Hilton terjual 3,000 naskhah (meningkat 50 peratus) seminggu selepas gambar di atas tersiar.

Cuma saya tidak pasti adakah buku Sistine Secrets dan Decoding The Heavens yang dicuri "Detektif Lim" di MPH Mid Valley kini laris dijual ataupun tidak.

5 komen:

Adliff berkata...

Salam,

Anuar,

Bercakap daripada soal pemasaran, ya benar perihal anugerah mampu melariskan buku. Contohnya dalam lawatan saya ke MPH semalam, buku-buku yang diiktiraf berpelekat dan duduknya dibahagian hadapan.

Namun sering terdengar di telinga saya adalah keluhan penulis buku bermutu tapi kurang popular yang akhirnya menjadi bahan jualan gudang.

hans berkata...

ntah
kalau dkt luar negara maybe dapat melariskan buku tapi kalau sini orang xamik kisah pun

SITI ZAINON ISMAIL berkata...

Saudara Anuar, saya agak keliru dengan sistem penilian anugerah buku anjuran Majlis Buku ini. Berdasar pengalaman lama, yang dinilai ialah hasil produksi atau persembahan penerbitan itu sendiri. Penulis sebagai pengkarya seseolah tidak terlibat. Buku saya pernah terpilih memenangi anugerah ini iaitu Rekabentuk Kraftangan Melayu. Saya hanya diberitahu tahu oleh editor secara lisan sahaja kerana yang menerima penghargaaan itu ialah PENERBIT. Kemudian senara buku yang memenangi anugerah itu hanya dapat dibaca di akhbar. Sebagai penulis kami ingin tahu juga duduk perkara ini. Terutama dari sudut sistem penilaian anugerah itu.

Saya yang selalu ketingalan dengan acara begini haaaaa. Tapi bangga kedai buku ITNM sudah cantik dan menarik. Saya bayangkan dapat minum di meja kecil dan membaca di situ. Bila nak rasmikan kedai buku rasa nak buat pameran lukisn KASIh BONDA yang sedang duiterjemhkan ke bahasa Rusia di dinding kedai buku. Tuan Haji Khir udah masuk pejabat ke?

Harap kedai buku ITNM giatkan promosi ke Massmedia, undang penulis perkenaaan di sudut Meja Kopi Penulis, dijempat para peminat buku huuuuuiiiii. Inilah impian berzaman saya, kedai buku yang RAMAH PENULIS + PENERBIT. Sehingga bukui tidak tertumpuk di gudang dan akhirnya dijual lambak di pesta buku, adoooooooiadooooi.

Salam untuk semua kerabatINTM. Selamat 10 Muharam 1431 dan tahun baru Masihi 2010.

Kak Siti Si KASIH BONDA !

Ticer Syah berkata...

ada masanya anugrah membantu, ada masanya tidak.. kadang-kadang kulit buku pun memainkan peranan.. kalau menarik, pasti orang tertarik begitu juga sebaliknya...

bercerita tentang detektif lim tu. berbaloi kah buku yang dia ambil tu? ehehhe.. macam lawak plak nak ambil2 buku ni eh..ahhaha..

Unknown berkata...

Tuan Alif,
Buku yang berpelekat dengan anugerah itu salah satu strategi melariskan buku. Kalau dalam hal buku tersadai di gudang itu, sebenarnya itulah kerja penerbit untuk mengedarkannya.

Tuan Hans,
Begitulah. Orang lebih mengenali JK Rowling berbanding dengan Orhan Pamuk (pemenang Hadiah Nobel).

Dr. Siti Zainon,
Secara jujurnya, saya pun skeptikal dengan penilaian anugerah buku itu. Jika melihat panel penilai, memang tidak boleh dipertikaikan. Cuma musykil, apakah buku itu dinilai berdasarkan penyertaan penerbit ataupun panel yang pergi mencari buku terbaik untuk dinilai.

Dr. marilah datang ke kedai buku ITNM. Cuma kafeteria belum disediakan lagi. Mungkin lagi 3-4 bulan akan dibina, selepas siap sepenuhnya pengubahsuaian bangunan ITNM. Nanti bolehlah kita duduk berbincang tentang buku sambil menyisip kopi:)

Cikgu Syahidah,
Hal ini abstrak; baik di mata orang lain tidak semestinya elok di mata kita, bukan?

Tapi mulia juga dia mencuri buku. Sebab pernah ada biblioholic yang gilakan satu buku itu sehingga sanggup mencuri. Alasannya kerana risau buku itu dimiliki orang yang tidak sepatutnya.