Jualan harian akhbar utama Malaysia:
  1. Sin Chew Daily: 374,757 naskhah
  2. Harian Metro: 338,552 naskhah
  3. The Star: 295,479 naskhah
  4. Berita Harian: 183,187 naskhah
  5. Utusan Malaysia: 181,346 naskhah
  6. Kosmo: 129,633 naskhah
  7. New Straits Times: 120,770 naskhah
Sekiranya melihat statistik yang dipaparkan di Berita Harian atau Utusan Malaysia hari ini, ternyata akhbar berbahasa Cina menguasai pasaran jualan akhbar di Malaysia.

Tahun lalu, sebaik sahaja statistik sebegini dikeluarkan oleh Audit Bureau of Circulation (ABC), lantas seorang pengarang akhbar berbahasa Melayu menulis "Melayu Malas Membaca" hanya kerana jualan akhbarnya tidak banyak terjual.

Rasa-rasanya mungkin akan ada lagi orang yang menyatakan sedemikian selepas membaca statistik di atas.


Apa hebatnya akhbar berbahasa Cina? Cuba baca Dr. Ridhuan Tee menulis di Mingguan Malaysia 23 Ogos 2009 ini, China Press adalah akhbar perkauman Cina yang telah diilhamkan oleh H.S. Lee pada tahun 1 Februari 1946. Akhbar ini pernah diharamkan suatu ketika oleh mahkamah, terutama selepas insiden 13 Mei 1969. Akhbar ini amat berbau perkauman. Untuk makluman, sebenarnya, akhbar inilah yang paling mendapat sambutan dari kalangan masyarakat Cina berbanding akhbar lain kerana keberanian melaporkan sesuatu isu termasuk menyentuh isu-isu sensitif orang Melayu dan Islam. Akhbar ini diterbitkan dua kali sehari. Saya amat hairan, kenapa China Press tidak menggunakan Cina Press.

Memang ada benarnya faktor rasis atau rasialis merupakan pemikat utama untuk melariskan apa sahaja produk mahupun perkhidmatan. Malah banyak orang lebih suka mendengar ucapan yang berbaur perkauman daripada mendengar kisah-kisah yang menyantuni semua kaum seperti yang biasa ditulis dalam Utusan Malaysia.

Utusan Malaysia ataupun Berita Harian ada juga menyiarkan bahan yang hanya cenderung kepada Melayu sahaja, tetapi terdapat juga berita/artikel yang menghentam Melayu sendiri. Contohnya, di ruangan Surat Pembaca Utusan Malaysia, pernah tersiar surat yang menyokong pemansuhan PPSMI, di sebelahnya pula ada surat daripada Mak Datin PAGE yang membantah sekeras-kerasnya pemansuhan PPSMI.

Dahulu pun akhbar Melayu ini juga yang menyokong penuh PPSMI, Berita Harian pula lebih kurang. Risau kalau PPSMI dimansuhkan, kembarnya, iaitu NST akan lingkup. Jelas ketara akhbar berbahasa Melayu kurang/tiada pendirian dalam hal bangsa Melayu. Mungkin menyantuni semua pihak agaknya...

Faktor lain penyumbang kepada jualan akhbar adalah saiz. Jualan empat akhbar tertinggi semuanya bersaiz kompak, yang mudah dikepit di ketiak dan dibimbit ke mana-mana. Namun pada hujung minggu, Mingguan Malaysia yang bersaiz besar mencatatkan jualan tertinggi, iaitu sebanyak 413,727 naskhah.

Saya dapati ada dua sebab, iaitu akhbar itu dibaca di rumah yang memang mempunyai ruang besar untuk menghamparkannya. Yang kedua, bahan di sisipan Pancaindera adalah penarik utama kepada pembaca. Isteri saya akan menarik sisipan itu dahulu sekiranya saya membeli akhbar itu. Selain gosip artis, terdapat bahan lain yang "kukuh" di sisipan itu.

Selain itu, perkara yang menyebabkan akhbar mainstream Melayu tewas kepada akhbar Cina dan Inggeris kerana orang Melayu banyak yang bekerja di pejabat/kerajaan. Di pejabat memang disediakan pelbagai akhbar untuk dikongsi baca. Banyak sahaja rakan pejabat saya memilih untuk membaca akhbar subsidi ini.

Namun mengapa Harian Metro laris juga? Lihatlah bahan di dalamnya. Semuanya popular dan sensasi. Ada seorang rakan bertugas di situ. Dia kata, "Aku lagi pening daripada mencari bahan untuk Mastika dahulu!"

7 komen:

Pok Li berkata...

Kerana itu kaum Cina bermati-matian mempertahankan bahasa mereka dan sekolah mereka. Kerana ia bukan sahaja berkaitan survival budaya, bahasa tetapi juga ekonomi dan pengaruh ideologi kepada kaum mereka.

Orang Melayu bukan tidak suka membaca, tapi budaya suka barang percuma dan subsidi yang berlebihan. Sehingga sanggup mengaku miskin semata-mata untuk mendapat bantuan. Semangat kendiri dan bersing hanya dimiliki oleh sebahagian kecil orang Melayu. Mereka tidak lagi bersatu seperti kaum lain. Mereka penuh dengan sifat dengki, fitnah dan memandang rendah kepada kebolehan orang lain. Sering mengkritik tetapi jarang kali untuk menyokong bagi kebaikan terutama bangsa dan agamanya. Ada yang percaya setiap kali harga rokok naik, pembelian akhbar dikalangan orang Melayu akan berkurangan......

hans berkata...

yups
sokong kenyataan Pok Li
lagipun Akhbar Melayu dilarang keluarkan kenyataan2 menentang kerajaan
xseperti akhbar cina
semua dia hentam
cuba kalau tidak bersifat berat sebelah
mesti ramai mahu baca

daLyaanoon berkata...

Memanipulasikan tajuk akhbar pun penting. Contoh tajuk akhbar "Menantu nyaris tikam mertua" berpotensi untuk lebih laris lagi.

Ticer Syah berkata...

harakah tak masuk list ke? ehehe..

rasanya kalau akhbar melayu disebumbungkan, maybe akan menang lah..akhabr melayu aje ada banyak keluaran, so Malays ada banyak choice untuk membeli..

dan selalunya orang suka berita gempak2 saja.. berita yang bisa membuat orang mengantuk akan ditolak tepi.. huhu..

saya bc akhbar online saja..mudah.. kalau beli pon, beli metro..haha! berita gempak banyak w/pun kadang2 tak baper gempak pon..ngeeee

Khairusy Syakirin Has-Yun berkata...

Boleh rujuk PEMIKIR Oktober-Disember 2009: bertemakan Kuasa Blog. Internet juga memainkan peranan yang penting di dalam menentukan jualan akhbar (berbahasa Melayu) naik atau turun. Juga peranan berita yang sudah muak didengar di tv, diulangtayang di akhbar....itu kata-kata kajian di PEMIKIR

azlishukri berkata...

tetapi walaubagaimana pun hakikatnya fakta berkenaan jumlah tertinggi pembaca surat khabar masih dipegang oleh orang Melayu. Orang Melayu tak suka beli surat khabar tetapi suka pinjam untuk membaca - baru2 ini kajian menunjukkan walau pun jualan akhbar bahasa Melayu menurun tetapi pembacanya bertambah. cina suka membeli akhbar mereka tetapi tidak suka berkongsi membaca. Kajian menunjukkan sebuah akhbar Melayu yang dibeli akan dibaca oleh 4-5 orang secara bergilir-gilir dan berkongsi. wallahualam

fadz berkata...

poin Muhammad Azli paling menarik.

Entri paling baik mika..