Fokus Dewan Kosmik (DK) pada keluaran Disember 2007 adalah "Teknologi Perang Masa Hadapan". Mengapa saya memilih isu ini sebagai fokus?

Bukan niat mahu mempromosikan perang yang sememangnya memusnahkan. Tetapi sekadar mahu menceritakan kepada umum betapa kreatifnya manusia dalam menciptakan pelbagai teknologi baharu. Tambahan pula, entah mengapa orang lelaki begitu meminati segala perkara yang berkaitan dengan perang. Fokus DK Disember 2007 memang dikhususkan untuk pembaca lelaki. Tetapi rencana lain di dalamnya ada banyak yang sesuai untuk bacaan kaum wanita. Antara isi kandungan fokus yang saya tulis sendiri ini adalah inovasi Amerika Syarikat dalam mencipta pesawat hipersonik yang berkelajuan 4000 batu sejam pada ketinggian 100 000 kaki, senjata laser, cip yang ditanam di dalam otak bagi mengesan musuh dan banyak lagi.

Saya mengakhiri rencana ini dengan ayat,

Apakah sebab AS beriya-iya membangunkan teknologi pertahanannya? Adakah disebabkan AS mahu menjadi polis dunia ataupun sebagai langkah berjaga-jaga daripada serangan musuh? Kebanyakan tujuan senjata dan jentera perang dicipta adalah sama ada bagi menyerang ataupun bagi tujuan pertahanan. Ironinya, semasa Presiden China, Hu Jintao mengumumkan pemodenan ketenteraan China, beliau menyatakan tujuan diadakan langkah ini bagi “mempertahankan kebebasan, keselamatan dan kedaulatan China”.

0 komen: