Semalam saya bersama Saudara Azli (Editor Dewan Ekonomi) dan Eksekutif Foto Dawama, Encik Mat Yaman ke Teratak Pak Habib Wadi Hussein di Janda Baik untuk menemurah Syed Abdullah Syed Hussein Al-Attas atau lebih dikenal sebagai Uncle Seekers. Tujuannya supaya saya dapat maklumat untuk dicoretkan dalam artikel fokus Dewan Kosmik keluaran Januari 2008. Sememangnya rumah Pak Habib cantik dan sungguh indah.

Uncle menerangkan banyak perkara berkenaan kerja-kerja mencari "hantu" ini. Apabila mendengar semua penjelasannya, pandangan saya kepadanya berubah. Selama ini saya menyangka dia suka mengarut dengan publisiti murahan. Tetapi saya dapat merasakan tugasnya menjejaki "hantu" adalah bertujuan bagi mengubah paradigma masyarakat terutamanya orang Melayu berkenaan HANTU!

Proses pencarian paranormal atau hantu dijalankan dengan pelbagai teknologi canggih yang terdiri daripada kamera, sistem navigasi, sistem bunyi, sistem suhu dan lain-lain. Alat ini digunakan bagi membuktikan benarkah wujudnya hantu dengan hasil saintifik.

Begitu juga dengan pembongkaran beberapa kaedah rawatan bomoh yang karut. Misalnya, telur yang mengandungi darah kerana penyakit dalaman, makan api dan lain-lain. Sila baca di sini bagi mengetahui teknik-teknik dengan lebih lanjut. Terima kasih Uncle kerana sudi memberikan demonstrasi.

Terima kasih juga kepada keluarga Pak Habib termasuklah krew Seekers Malaysia kerana melayan kami dengan penuh mesra.

0 komen: