Innalillahi wa inna ilaihi raajiu'un...

Al-Fatihah kepada Senator Prof. Datuk Dr. Ismail Salleh (tokoh ekonomi & akademik) dan Kapten Abdul Halim Abdul Hamid (Pengadil bola sepak tempatan bertaraf dunia) yang meninggal dunia semalam.

Kedua-dua mereka meninggal dunia akibat masalah jantung.

Semalam saya menonton video Allahyarham Ustaz Asri Ibrahim di YouTube yang disiarkan sebagai penghargaan atas usaha dakwah beliau melalui hiburan nasyid.

Bergenang air mata menonton video yang disiarkan sebanyak empat siri itu. Saya memang menggemari alunan suaranya sejak Nada Murni lagi. Malah saya masih menyimpan kemas di rumah Johor hampir semua album kaset Nada Murni.

Allahyarham meninggal kerana masalah jantung, bukan H1N1 seperti yang didakwa banyak orang.

Begitu jugalah dengan Allahyarham Yasmin Ahmad yang pergi menyahut seruan Ilahi beberapa hari sebelum Ustaz Asri, akibat masalah jantung.

Rupa-rupanya rumahnya di SS19 Subang Jaya sangat dekat dengan rumah mentua saya, selang lima rumah. Mentua saya mengenali ibu bapa Yasmin, tetapi tidak menyedari pengarah filem itu merupakan anaknya. Kata isteri saya, "Kalau saya tahu, boleh minta jadi pelakon!"

Sejak dahulu kita menyedari bahawa penyakit jantung adalah "pembunuh" nombor satu di Malaysia, malah penyakit ini mendahului carta penyakit berbahaya, iaitu sebanyak 6500 kes kematian setahun. Lebih banyak daripada kematian disebabkan oleh kecelakaan jalan raya, iaitu 6000 kes.

Mungkin disebabkan inilah kerajaan menubuhkan Institut Jantung Negara (IJN) sehinggakan Sime Darby beria-ia mahu membeli hospital itu. IJN pun baru siap bangunan baharunya, mungkin bagi menampung jumlah pesakit yang semakin bertambah.

Saya akan pergi untuk membuat pemeriksaan jantung. Alasan, "Saya masih muda" langsung tidak sesuai kerana kanak-kanak berumur dua tahun pun boleh mengalami masalah jantung.

Saya pernah berbual dengan jururawat yang bertugas di coronary care unit (CCU). Katanya, "Lelaki paling berisiko menghadapi masalah jantung."

Manakala dalam Journal of Occupational Psychology terdapat satu penyelidikan Occupational sources of stress: A review of the literature relating to coronary heart disease and mental ill health yang mengaitkan kaitan kerja yang stres dengan masalah jantung.

Di laman ini disenaraikan kerja-kerja yang paling stres yang mungkin mengakibatkan pekerja itu mengalami masalah jantung, antaranya polis, bomba, pakar bedah, dan warden penjara. Penterjemah tidak pula termasuk dalam senarai ini.

Yang paling penting adalah mencegah. Maka perlulah kita melakukan seperti yang disenaraikan ini:
  • Berhenti merokok (jangan cuba, tetapi berhenti terus).
  • Amalkan pemakanan sihat (kurangkan makan manis dan berminyak).
  • Bersenam (Mujur rumah saya memerlukan naik tangga, anggaplah bersenam setiap hari).
  • Belajar mengendalikan tekanan.
  • Sentiasa berfikiran positif dan mempunyai motivasi.
  • Jalani pemeriksaan kesihatan tahunan (walaupun masih muda).
Saya pernah membaca satu artikel yang menyatakan sekiranya meminum air sejuk/ais selepas makan akan menyebabkan lemak tepu bergumpal, yang ada kesannya kepada arteri jantung.

Jantung
kita berdenyut 70 kali setiap minit atau 140,000 kali sehari walaupun semasa kita tidur. Kita yang bekerja lapan jam pun sangat memenatkan.

Maka sayangilah jantung kita.

Saya salin semula "status" di facebook saya semalam:

Semalam, saya berbuka di kedai mamak. Pesan tomyam untuk dua orang makan dan telur dadar untuk dua orang makan. Mamak itu menghidangkan dua mangkuk tomyam dan dua piring telur dadar. Saya tersalah beri arahan atau mamak itu tersalah faham?

Komen yang diperoleh:

Nazri M. Annuar: bercakap dengan mamak, kau kena lupakan logik. "maggi goreng telur atas", "kira sekali ka asing-asing", mwahaha

Shazni Shahruddin: instruction not specific kot... suggest u try this : 'pakcik mamak, tolong sediakan satu mangkuk tomyam dan satu piring telur dadar yg sesuai dimakan utk 2 orang' .. it's either that...atau sememangnya 'portion' makanan kat kedia tu mcm tu....

Iskandar Syah Ismail: Itu belum lagi pesanteh ais dapat milo ais.Warna sama encik!

Ummuhani Abu Hassan: kalau yang makan itu suami isteri mungkin mamak salah faham, tapi kalau dua orang itu adalah kawan2, saya rasa mamak tu faham berbeza sikit. tambah kalau sama2 lelaki, sebab kita jarang 'berkongsi' pinggan di kedai makan.

Muhamad Bin Ali: dua-duapun salah. dah tahu ke kedai mamak, kasi worder macam kedai siam!. Guna skrip ini utk worder kedai mamak:
"mamak, tomyam satu, tulur dadar satu, mangkok kalu kasi dua"

Shazni Shahruddin: hahahaha..oh ada style2 'worder' lah pulak....mantap..mantap...

Norziati M Rosman: Kalau jenis mamak lurus bendul, memang pesanannya sampai begitu. Kena ubah ayat rasanya : tomyam dua orang makan satu mangkuk, telur dadar untuk dua orang makan satu pinggan je...hehe

Norziati M Rosman: Tapi biasanya kami minta pelayan ulang semula pesanan. Biarlah nampak macam demand, asalkan tak sakit hati

Azlinda Mahari: hehe.. tu ler.. sape suwoh p kedai mamak.. moral of d story, masak la sdri juadah bbuka anda.. air tgn sdri, lbh baik...

Shelyza Sulaiman: awk duk mana muar

Shazni Shahruddin: yes yes...saya sungguh setuju...masak sendiri lagi baguih! Pi soroh fadhillah masak sedap2 sikit petang ni agar terubat confusion semalam...huhu

Faizah Yussof: hahhaha cube tengok sitcom alamak di astro Ria,ade kene mengene dgn kes mamak nih,hehee

Zamani Mk: kena ulang 3x baru dia paham...

Khadijah Gani: hahaha.. betul betul..kena ada stail wonder tuh.. klu dia tak faham2 lenkali ckp je, "mamak, ini mcm.. mamak punya kapla kasi atas taruk!'..mesti mamak tu tersenyum gembira...hehehe

Mohd Akhmal Mohd Noor: status mamak yang dicurigai

Shahrom Haji Hassan: erm...nasib baik bkn 3...kalo x dh bole panggil trinity or trisakti hehe

Wasunni Al-Kelantani: teringin betul nak makan nasi putih berlaukan ayam goreng dan kuah kari campur di kedai mamak, lepastu letak sayur skit..haha

Kang Razzi Armansur: Manalah dia nak faham Nuar... Pure Indian dari Karala. Pernah menggunakan isyarat untuk "Teh kurang panas..."

Hampir semua komen menyatakan perlunya kita sebagai pelanggan menerangkan dengan lebih lanjut maksud permintaan pesanan makanan itu.

Menariknya, walaupun "mamak" yang bertugas itu baru semalam, minggu lepas, ataupun sebulan tiba di Malaysia, mereka terus ditugaskan bekerja di front desk premis perniagaan.
  1. Mereka ada keyakinan (tanpa malu) "berkomunikasi" walaupun langsung tidak mahir berbahasa Melayu mahupun Inggeris.
  2. Tiada latihan khusus diberikan kepada mereka. Mungkin prinsip pemilik kedai mengandaikan latihan terbaik adalah praktikal langsung di hadapan pelanggan.

Saya merasakan natijahnya ada baiknya. Rata-rata pelayan (Bangla, Nepal atau India), sama ada di restoran ataupun di stesen minyak, sangat mahir bertutur berbahasa Melayu. Apabila ditanya, "Sudah berapa lama di Malaysia?" Saya sangat yakin jawapan mereka, kurang setahun ataupun dua tahun.

Ironinya, ada pemegang kad pengenalan biru langsung tidak boleh bertutur dalam bahasa Melayu.

Semasa di Pulau Pinang baru-baru ini, saya sempat berbual dengan warga Iran yang mengikuti pengajian sarjana di UM. Dia merungut kerana banyak kertas kerja dibentangkan dalam BM walaupun persidangan tersebut bertaraf antarabangsa. Beliau sudah setahun di Malaysia, tetapi langsung tidak boleh berbahasa Melayu.

Rupa-rupanya penasihat pengajian beliau (penganut Sikh) adalah pendukung PPSMI. Beliau lantang menentang pemansuhan BI dalam pembelajaran sains dan matematik semasa memberikan soalan dalam satu sidang parallel. Dalam hati saya, "Ruginya orang Iran ini!"

Sambungan daripada artikel ini.

Memang Google lebih maju ke hadapan dalam bidang penterjemahan mesin berbanding dengan aplikasi laman web lain. Selain Google Translate yang berupaya menterjemahkan satu rangkap ayat ataupun satu laman web, Google juga menawarkan perkhidmatan menterjemahkan satu dokumen dengan cara upload file sama ada HTML (.html), Word (.doc), OpenOffice (.odt), text (.txt), RTF (.rtf), artikel Wikipedia dan Knol.

Saya memperoleh maklumat ini semasa Prof. Anthony Pym dari Universitat Rovira I Virgili, Terragona, Sepanyol membentangkan kertas kerja "On Empiricism and Bad Philosophy in Translation Studies" di Persidangan Penterjemahan Antarabangsa ke-12 baru-baru ini.

Prof. Anthony Pym

Google Translator Toolkit dicipta bagi membantu penggunanya menterjemahkan lebih banyak dokumen, laman web, artikel Wikipedia dan artikel Knol.

Sekiranya kita adalah penterjemah, kita hanya perlu memuat naik satu file dokumen atau URL. Kemudian Google Translator Toolkit akan menterjemahkan secara automatik dokumen/laman web itu. Menariknya, kita boleh menyunting setiap artikel yang telah diterjemahkan itu. Malah orang lain yang dijemput khas turut boleh sama-sama melihat atau menyunting artikel tersebut.


Dengan cara sebegini, walaupun sistem ini menggunakan sepenuhnya penterjemahan mesin, ia masih tetap bergantung pada manusia untuk memperelokkan laras bahasa yang diterjemahkan.


Bukan itu sahaja. Selepas siap diterjemahkan, kita boleh memuat turun dokumen tersebut. Manakala sekiranya kita menterjemah artikel daripada Wikipedia atau Knol, kita boleh terus publish ke kedua-dua laman web itu.

Lanjut boleh dipelajari melalui video ini:


Cuma malangnya belum ada lagi terjemahan ke bahasa Melayu. Rupa-rupanya bahasa negara jiran kita seperti bahasa Indonesia, bahasa Vietnam, dan bahasa Thai lebih dipandang oleh orang Barat. Ataupun mungkin juga mereka keliru antara bahasa Melayu dengan bahasa Indonesia.

Restoran Sundanese, KLCC

23 Ogos.


1. Hari lahir isteri saya yang ke-27.
2. Genap setahun majlis walimah di pihak saya, di Johor Bahru.

17 Ogos lalu merupakan setahun usia perkahwinan kami. Saya sekadar sempat meraikannya dengan menikmati makanan Sunda di KLCC sehari sebelumnya kerana pada tarikh tersebut perlu ke Pulau Pinang bagi mengikuti Persidangan Penterjemahan Antarabangsa ke-12.

Saya mengenali beliau di Pusat Matrikulasi UIAM (tahun 2000), semasa sama-sama menyertai PKPIM, secara spesifiknya ketika sibuk dengan pilihanraya kampus.

Pada masa itu, beliau antara "sister" yang berani bersuara. Ada satu slot wacana diadakan dengan menampilkan Nurul Izzah Anwar sebagai tetamu. Beliau merupakan orang pertama yang mengajukan soalan kepada Nurul Izzah, dengan soalan yang "dewasa". Lantas terus saya memberikan pesanan kertas kepada Dino (pengarah pilihanraya PKPIM) untuk "tackle" dia menyertai grup think tank.

Secara terbuka, saya tertarik kepadanya kerana dia mempunyai idea dan fikiran yang kritis, tidak klise. Sebenarnya saya sudah banyak bertemu/berkawan dengan "sister" lain, tetapi cara berbicara isteri saya ini senantiasa "segar" sehinggalah kini. Kalau dia diam, itu adalah tanda dia stres, sakit ataupun mengantuk. Kalau dia berkeadaan baik, coletehnya membuatkan semua orang lain berfikir dan seronok.

Selepas berkahwin dengannya, barulah saya tahu ini semua adalah hasil didikan bapanya yang mengajar beliau supaya berfikir di sebalik setiap keadaan, selain banyak membaca segala material. Baba memang lain bacaan fikirannya. Kalau saya ada masalah kebuntuan idea untuk menulis, beliau menjadi tempat rujuk yang paling baik, lebih-lebih lagi dalam hal politik semasa.

Hari ini saya tidak dapat menyambut ulang tahun isteri saya. Bukan sebab kerana puasa, tetapi berlaku keadaan yang tidak mengizinkan yang perlu diberikan keutamaan. Akan saya ceritakan situasi yang kini berlaku dalam artikel akan datang.

Doakan kebahagian dan keberkatan hidup kami sekeluarga ya.

Berikut adalah sebahagian daripada pembentangan kertas kerja saya di Persidangan Penterjemahan Antarabangsa ke-12 di Pulau Pinang 18 Ogos lalu yang berjudul "Aplikasi Teknologi dalam Penterjemahan".


Penterjemahan secara elektronik bukanlah sesuatu yang baharu. Ia telah mendapat perhatian secara menyeluruh daripada pelbagai pihak dan organisasi yang berkepentingan. Malah kajian secara mendalam juga telah lama dilakukan, iaitu sejak tahun 1950-an lagi.

Pada masa itu, penyelidikan yang dinamakan Eksperimen Georgetown telah berjaya menterjemahkan 60 ayat dalam bahasa Rusia ke bahasa Inggeris. Walau bagaimanapun, Automatic Language Processing Advisory Committee (ALPAC) mengeluarkan laporan menyatakan kegagalan Eksperimen Georgetown sehingga menyebabkan projek tersebut terus berkubur.


Kini, kita boleh menggunakan Babel Fish (Yahoo!) yang boleh menterjemah lebih 15 bahasa. Begitu juga dengan Bing Translator (dulu dikenali dengan Live Search Translator dan Windows Live Translator) yang boleh menterjemahkan ke 15 bahasa lain.


Babel Fish dan Bing Translator menggunakan program perisian yang sama, iaitu Systran, yang turut boleh menterjemah lebih 20 bahasa dunia.


Program terjemahan webbase yang paling ke hadapan adalah Google Translate yang boleh menterjemah hampir 50 bahasa yang ada di dunia ini. Antara bahasa yang ditawarkan adalah bahasa Indonesia, bahasa Vietnam, dan bahasa Thai. Malangnya Google belum lagi menawarkan bahasa Melayu sebagai salah satu bahasa yang boleh diterjemahkan melalui Google Translate.


Sebelum Google Translate menterjemahkan bahasa Melayu ke bahasa asing, syarikat tempatan, iaitu Linguamatix Sdn. Bhd. sudah membangunkan aplikasi teknologi dalam menterjemahkan bahasa kebangsaan melalui Citcat. Syarikat ini menggunakan teknologi yang dikenal sebagai LinguaBASE, iaitu enjin perisian yang mempunyai daya pemprosesan tinggi bagi proses bahasa terjemahan.

Cuma satu fakta yang tidak dinafikan oleh mana-mana pihak - tidak mungkin sesuatu ungkapan atau ayat dapat diterjemahkan dengan tepat melalui webbase. Walaupun tidak dinafikan bahawa program terjemahan perkataan daripada satu bahasa lain kepada perkataan dalam bahasa lain dapat dibangunkan dengan mudah, tetapi ini tidak bermakna setiap perkataan yang diterjemahkan itu tepat dengan maksudnya.

Maka menyedari hal ini, ITNM mencipta satu program yang dinamakan sebagai e-Terjemahan Dokumen - sebagai alternatif mengatasi lambakan kerja kepada penterjemah. Buat permulaan, program ini menyediakan perkhidmatan penterjemahan dokumen (seperti sijil SPM dan nombor kad pengenalan) terlebih dahulu sebelum bergerak untuk menterjemahkan buku pada masa akan datang.


Walau bagaimanapun, sejauh mana kecanggihan sistem yang dicipta ini, segala urusan penterjemahan di ITNM masih lagi bergantung pada tenaga penterjemah bagi memastikan kualiti penterjemahan benar-benar berkualiti.

Ada satu lagi teknologi penterjemahan yang ditawarkan oleh Google. Akan saya kisahkan nanti.

Bos ITNM ini sekiranya diberikan untuk berucap, memang mampu untuk menarik perhatian umum. Disebabkan itulah MADUM menobatkannya anugerah khas kepadanya.

Beliau membentangkan kerja "Peranan Institut Terjemahan Negara Malaysia dalam Meningkatkan Taraf Bidang Penterjemahan di Malaysia".

Namun yang menarik perhatian adalah kertas kerja yang dibentangkan oleh Naib Canselor USM, Prof. Tan Sri Dato' Dr. Dzulkifli Abdul Razak.

Antara kata-katanya yang menarik, "Pada zaman Andalusia, penterjemah diberikan ganjaran emas yang beratnya setimpal dengan berat buku."

Saya budak baru belajar yang membentang kertas kerja "Aplikasi Teknologi dalam Penterjemahan".

Saya suka dengan makanan di sini. Merasai ABC sebaik menjejakkan kaki di pulau ini. Namun Kapitan tetap saya idamkan makanan nasi beriani claypot dan susu badam.

Biasanya orang ke Pasar Chowrasta akan membeli jeruk dan buah pala, tetapi sebenarnya di atas pasar ini terdapat ribuan longgokan buku terpakai. Rambang mata!

Agak terkejut juga dapat menemui majalah tahun 1997 yang pernah saya menjadi editornya pada 2007-2008, iaitu Dewan Kosmik. Di imprint page, Baharuddin Zainal (kini Dato') menjadi editornya. Manakala anaknya, Rosihan Juara (kini di Pustaka Cipta) adalah sidang editorialnya.

Saya pengguna setia yang setiap hari melalui Lebuh raya Lingkaran Tengah 2 (MRR2), Cheras untuk ke pejabat. MRR2 adalah salah satu contoh kerja tidak cerdik arkitek/jurutera yang mencipta jalan yang asalnya tiga lorong - berubah menjadi dua lorong. Natijahnya, jalan akan menjadi sesak pada setiap hari walaupun tanpa sebarang kemalangan.

Maka banyaklah pemandu yang bersikap kurang ajar tanpa memberikan isyarat memotong laluan. Saya dengan rasa selamba akan menggelar mereka sebagai "si pemakan babi". Rasanya ada kewajarannya mereka mendapat gelaran itu.

Saya memetik tulisan Faisal Tehrani yang akan mementaskan teater Kopitiam Ghadir di Wisma ITNM bermula 13-16 Ogos ini (tiket RM10). Kopitiam Ghadir tidak ada kena mengena dengan nama Encik Mohd Khair Ngadiron, bos ITNM.

Dalam Ketupat Cinta, Faisal menyatakan, "Binatang seperti kucing, anjing, musang, harimau, burung helang ada lemak yang tidak boleh dihadam manusia. Kalau kita mengambil daging binatang itu, lemak itu berpindah ke badan kita lalu kekal menjadi lemak binatang."

"Sedang kalau haiwan itu seperti kerbau, lembu, kuda, unta, kambing atau arnab mudah dihadam dan diserap tubuh. Dan kalau dimakan dagingnya lemak itu berpindah ke badan kita menjadi ia lemak manusia."

Daging babi termasuk dalam jenis yang pertama. Dalam Ihya Ulumuddin menyatakan bahawa daging anjing dan babi akan membuatkan manusia menurut rohani dan jasmani binatang itu!

Perangai babi suka menyondol tanpa memandang kiri dan kanan. Maka pemandu yang suka menyondol memotong laluan tanpa memberikan isyarat apatah lagi melambai tangan sebagai tanda terima kasih adalah tidak ubah seperti babi.

Sedang memakan nasi lemak adalah 10 makanan "wajib" rakyat Malaysia, seperti yang dinyatakan dalam NST beberapa hari lalu, antara masakan Melayu yang terbaik. Lengkap dengan masam, manis, pedas dan lemaknya.

Masam merupakan lambang kurang, manis itu lambang lebih - maka seimbanglah antara masam dan manis. Manakala pedas itu adalah lambang ketegasan, maka lemaknya merupakan unsur kepada tolak ansur.

Nasi lemak tetap halal, kecuali ada orang yang menambah kepingan daging babi menggantikan paru. Nasi lemak kini dimakan oleh 1Malaysia, tidak perlu slogan, tidak perlu lagu (seperti yang Hot FM lakukan), tidak perlu kempen, tidak perlu iklan satu halaman di akhbar. Dengan makan nasi lemak sahaja, 1Malaysia boleh duduk semeja.

Indah sungguh falsafah penciptaan nasi lemak.

INSTITUT TERJEMAHAN NEGARA MALAYSIA

dengan penuh takzim
mengundang dan mempersilakan tuan/puan ke

Majlis Penghargaan
“MENJELANG 75 TAHUN A. SAMAD SAID”
dan Pelancaran Buku Fansuri’s Love dan Ballad of the Lost Map

Institut Terjemahan Negara Malaysia (ITNM) dengan kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan mengadakan majlis penghargaan “Menjelang 75 Tahun A. Samad Said” bagi mengenang dan menghargai karya serta sumbangan Sasterawan Negara Keempat (1986) ini membangunkan bidang sastera kebangsaan, selain bertujuan meraikan menjelangnya 75 tahun usia beliau pada 9 April 2010.

Majlis tersebut akan diadakan seperti berikut:

8 Ogos 2009 (Sabtu)
8.00 Malam – 11.00 Malam
Auditorium Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur

Tuan/puan dipersilakan hadir ke majlis ini.

Sekian, terima kasih.

“Pilihan Anda Untuk Terjemahan Berkualiti”

Setiap pagi semasa saya keluar rumah untuk ke tempat kerja, akan ada seekor kucing mengiau di rumah jiran saya. Saya tahu, Abang Yatim (jiran) akan memberikan makanan kepada kucing itu walaupun tidak membelanya.

Abang Yatim dan Kak Gie sudah lebih lapan tahun bernikah, belum dikurniakan anak lagi. Baru minggu lepas saya mendapat tahu Kak Gie disahkan mengandung tiga bulan.

* * *

Saya akan membaca buku ala-ala Chicken Soup di dalam kereta, sama ada semasa kesesakan ataupun sementara menunggu isteri keluar dari pejabatnya.

Alahai Pengantin Baru hadiah daripada Encik Armin (Editor Pelita Bahasa) semasa walimah saya. Saya tertarik dengan satu cerita...

Seorang pekerja yang setiap hari melalui laluan Bentong menuju ke Kuala Lumpur. Beliau membawa bekal roti buku yang akan diberikan kepada monyet semasa perjalanannya ke Kuala Lumpur. Beliau akan memberhentikan kereta untuk memberikan roti itu kepada monyet.

Suatu hari, ada sebuah kereta yang memotong laju keretanya. Tidak jauh dari situ, beliau seperti biasa akan berhenti untuk memberikan makanan kepada monyet. Kemudian beliau meneruskan perjalanan sehingga melalui suatu lokasi kemalangan, akibat pokok tumbang. Kenderaan yang terbabit adalah kereta yang memotong kereta lelaki pemurah hati ini.

Bayangkan sekiranya beliau meneruskan perjalanan, mungkin beliau yang terlibat dalam kemalangan itu.

* * *

Saya percaya berbuat ihsan kepada sesama manusia termasuk dengan haiwan pasti akan dibalas baik.

Editor Pelita Bahasa, Encik Armin Azhari Salleh meminta saya menulis isu penterjemahan dalam keluaran Ogos 2009 yang bersempena Persidangan Penterjemahan Antarabangsa Ke-12 pada 18-20 Ogos di Pulau Pinang.

Walaupun beliau mahukan skop penulisan saya mewakili ITNM, tetapi saya memerlukan sedikit ruang kebebasan dalam menulis. Maksudnya, penulisan ini mewakili diri saya sendiri dan dari kaca mata saya sendiri walaupun belum setahun terlibat dalam bidang penterjemahan ini.

Mukadimahnya,
Sekiranya diajukan pertanyaan berkenaan kaedah untuk menjadi penulis yang hebat kepada Sasterawan Negara Datuk A. Samad Said, jawapannya adalah, “Pertama membaca, kedua membaca, ketiga membaca, keempat membaca, dan kelima menulis. Sekiranya kelima-lima perbuatan adalah membaca, maka akan menjadi pembaca yang tegar.”

Ditanyakan pula kepada Pengerusi PTS Publications & Distributors Sdn. Bhd., Puan Ainon Mohd berkenaan cara untuk memperbanyak khalayak pembaca buku Melayu. Beliau menjawab, “Kita perlu melambakkan lebih banyak buku Melayu di pasaran supaya orang menyedari kewujudan buku berkenaan. Hakikatnya di Malaysia banyak buku berbahasa Melayu yang lebih berkualiti daripada buku yang diimport.”


Seterusnya di majalah ini.