Ada seorang sahabat bertanya, "Mengapa kau terlalu banyak unsur Islamik (mungkin maksudnya ruangan "Islam dan Sains") dalam majalah kau? Nanti orang cakap majalah kau ini seperti majalah agama pula. Aku tahulah kau lulusan agama."

Ada pula menyatakan, "Kawan saya tertarik dengan Dewan Kosmik keluaran Februari, "Seks dan Teknologi Moden." Apabila dibaca isi kandungan majalah itu, seolah-olah membaca majalah agama pula."

Individu lain pula memberikan komen berkenaan kulit majalah Dewan Kosmik November 2007, "Mengapa mengambil model memakai tudung untuk isu pembedahan plastik? Mana ada orang bertudung buat pembedahan plastik."

Saya masih ingat semasa menghadiri seminar di UIA dahulu, Dekan Kulliyyah Sains, Prof. Dr. Ahmad Torla menyatakan tidak bersetuju dikaitkan Islam dengan sains. Hujahnya, "Sekiranya setiap penyelidikan sains dikaitkan dengan Islam (baca al-Quran), bagaimana keadaannya sekiranya pada masa akan datang, wujudnya penyelidikan sains terkini yang tidak dapat dibuktikan dengan sebarang ayat al-Quran? Akan ada nanti orang mempertikaikan kebolehpercayaan al-Quran."

Panel lain dalam seminar itu, Shah Kirit Kalkulal Govinji pula tidak bersetuju dengan kenyataan Dr. Ahmad Torla. Hujahnya, "Ilmu Allah tidak tertanding dengan manusia. Bagaimana pula ada ilmu manusia yang boleh terjangkau dengan ilmu Allah."

Ada benarnya kata Dr. Ahmad Torla, tetapi saya lebih bersetuju dengan pendapat panel kedua. Sebenarnya saya lebih tertarik dengan kenyataan Maurice Brucaille, pemikir Perancis (rujuk Dewan Kosmik September 2008) yang mengkaji fakta sains dalam al-Quran, Bible, dan Taurat. Beliau menyimpulkan bahawa hanya al-Quran yang memperoleh 100 per 100 dalam ujian penyelidikannya.

Katanya, "The Quran did not contain a single statement that was assailable from a modern scientific view. Why should we (orang Kristian) be surprised at this (keserasian antara al-Quran dengan sains) when we know that, for Islam, religion and science have always been considered twin sisters."

Islam dan sains memang tidak boleh dipisahkan. Sains dipandu agama, agama memandu sains. Sekiranya disekularkan sains, maka hilanglah arah kerana tiada "pemandu".

0 komen: