Empat hari berbengkel di Port Dickson memang memenatkan. Walau bagaimanapun, banyak perkara baharu sudah dirancang dan akan dilaksanakan.

Dato' Baharuddin Zainal selaku Pengerusi Jawatankuasa Penerbitan, Lembaga Pengelola DBP banyak memberikan maklumat baharu berkenaan isi kandungan yang sepatutnya ada dalam majalah. Teguran beliau berkenaan kekurangan setiap majalah DBP akan diambil perhatian oleh setiap editor. Manakala slot pengalaman sebulan Editor Dewan Masyarakat, Saudara Mohd Shukri Mohd Ariff di Majalah Gatra, Indonesia memberikan semangat baharu kepada editor-editor majalah dan staf DAWAMA. Kata Shukri, "Pak Putut (Ketua Redaktur Gatra) terkejut DBP menerbitkan sembilan majalah. Apabila beliau bertanya jumlah orang yang mengendalikan sembilan majalah itu. Saya menjawab, 'Bapak datang sahaja melihat di Kuala Lumpur'." Ini kerana Gatra yang merupakan majalah terbaik di Indonesia diterbitkan dengan kakitangan sebanyak 200 orang. Respon Dato' Dr. Firdaus Abdullah (KP DBP), "Hasrat hati saya mahu melihat Bahagian Majalah DBP dapat menerbitkan semula majalah yang berbentuk seperti Gatra yang terbit dua minggu sekali. Tetapi saya malu menyatakan kepada sesiapa kerana saya gagal mempertahankan Massa semasa di UKSB. Tetapi saya yakin kemampuan Bahagian Majalah DBP dan berani meluahkan isi hati saya ini pada hari ini."

Perancangan fokus Dewan Kosmik yang saya bentangkan tidak ada apa-apa bantahan daripada sesiapa. Respon Prof. Emeritus Dato' Dr. Isahak Haron, "Kalau dapat kita terbitkan satu lagi majalah sains. Kerana rasanya tidak mencukupi satu majalah sains yang semakin berkembang bidangnya." Beliaulah orang yang mempertahankan Dewan Kosmik dan Dewan Ekonomi daripada ditutup semasa pengambilalihan daripada Ultimate Print.

KP DBP nampaknya gembira dengan segala perancangan penerbitan majalah DBP dan komitmen kakitangan Bahagian Majalah DBP dan Unit Majalah DAWAMA. Beliau yakin majalah majalah-majalah DBP yang popular seperti Dewan Masyarakat, Dewan Siswa, Dewan Pelajar, Dewan Kosmik dan Dewan Ekonomi serta majalah-majalah klasik seperti Dewan Budaya, Dewan Bahasa, Dewan Sastera dan Pelita Bahasa berjaya menyebarluaskan bahasa Melayu di mana-mana sahaja. Kita tunggu dan lihat perubahan majalah-majalah DBP.

0 komen: