Ombak Rindu, Lagenda Budak Setan (yang betulnya Legenda), Mat Som, dan Puteri Gunung Ledang antara filem Malaysia yang diadaptasi daripada buku/novel dan berjaya (dari segi sambutan penonton/liputan). Lat Kampung Boy Sebuah Muzikal pula diadaptasikan daripada novel grafik menjadi persembahan pentas dan berjaya (dari segi sambutan penonton/keuntungan/liputan).

Tidaklah perlu dibandingkan dengan negara luar, kerana mereka sudah jauh ke hadapan dalam kerja-kerja mengadaptasi novel kepada bentuk filem. The Lord of the Rings, Angels and Demons, Twillight, dan Jaws antara filem terkini yang sangat berjaya diadaptasikan. Kebanyakannya daripada novel, jarang-jarang filem diadaptasikan daripada buku umum.

Cuma tidak lama lagi akan ada filem yang diadaptasi daripada buku umum (ekonomi) yang telah terjual lebih empat juta naskhah di seluruh dunia, iaitu Freakonomics: A Rogue Economist Explores the Hidden Side of Everything tulisan Steven Levitt dan Stephen J. Dubner.

Cuma ia bukanlah diadaptasi menjadi filem per se yang mempunyai penceritaan yang menghiburkan. Freakonomics: The Movie digarap oleh enam pengarah menjadi sebuah filem dokumentari.

Filem ini akan memasuki pawagam Malaysia tidak lama lagi. Saya kurang pasti bagaimana sambutannya nanti. Kalau lihat kepada trelernya, menarik saya untuk menontonnya nanti. Cuma ada banyak wawancara yang mungkin akan agak membosankan.


Sekurang-kurangnya saya tahu bahawa prospek buku umum juga boleh diadaptasikan menjadi filem. Teruja juga kalau-kalau buku Menjuarai Transformasi (Najib Tun Razak) ataupun Sudut Pandang Muhyiddin Yassin boleh difilemkan.

[Dua-dua buku itu terbitan ITBM] :)


Gambar di atas ini dirakam oleh Alif Firdaus Azis yang dimuat naik ke Facebooknya. Saya masih ingat lagi buku ini dibeli di Popular Wangsa Walk Mall bersama-sama isteri, dan terus menulis sedikit catatan di title page buku itu. Cuma saya bingung bagaimana buku ini boleh "terlepas".

Menulis sedikit catatan di buku sudah menjadi tabiat saya sejak dulu. Saya akan menulis dengan siapa saya membelinya, apakah aktiviti yang dilakukan sebelum dan selepas membeli buku itu. Ada kalanya, saya akan meminta sesiapa yang bersama-sama saya ketika itu (biasanya isteri) untuk menulis sebarang ayat di buku yang dibeli itu.

Saya menganggap cara ini membolehkan saya mengingati semula apakah peristiwa yang pernah saya lakukan suatu masa dulu. Mencatat "sejarah" ini memang bagus, tetapi mungkin juga perlu berhati-hati mencatat. Ada juga beberapa buku yang saya catat bersama-sama orang ini atau orang itu (baca: kawan [Ya... ada kawan perempuan]), yang akhirnya kini dibaca oleh isteri.

Mujur isteri saya faham semua itu hanya sejarah silam (walaupun Hamka kata, "Sejarah tidak mungkin berulang, tetapi perangai manusia itu mungkin berulang"). :) Perkataan "mungkin" itu memberi maksud ketidakpastian (ayat selamat).

Selain menconteng apa-apa sahaja di bahagian tengah title page itu, di bahagian kanan atas title page itu akan dicarit tandatangan, tarikh pembelian, lokasi pembelian, dan harga buku. Kalau ada diskaun pun ditulis jumlah harga selepas diskaun. Biasanya saya akan mengecap buku tersebut dengan "mohor" nama di tempat bekerja.

Namun jenuh juga kalau membeli banyak buku, sebab perlu dicatat semua buku itu. Biasanya semasa Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur, saya akan jenuh untuk mencatat satu persatu buku.

Kalau semasa belajar sehingga bekerja di DBP, di belakang buku itu ada dikepilkan resit pembelian buku. Cuma kini tidak lagi, kerana resit pembelian sudah diasingkan di dalam fail khusus. Boleh buat tuntutan cukai! Alhamdulillah mampu bayar cukai & zakat pendapatan...

Kebingungan saya tentang "kehilangan" buku Mat Som dirungkai selepas saya menghubungi Alif. Dia kata buku itu dipamerkan di rak Popular Wangsa Walk Mall semasa dia berhajat membeli buku tersebut.

Baru saya teringat, saya pernah meminta tukar buku itu kepada buku baharu kerana terdapat blank page di beberapa helaian. Saya sudah menyatakan buku yang "rosak" itu telah diconteng, tetapi wanita di kaunter itu kata, "Tidak mengapa". Rupa-rupanya dijual semula buku itu. Mungkin ada pekerja lain yang "terlalu rajin" sehingga tidak dapat membezakan buku reject.

Saya terbaca akhbar Utusan Malaysia hari ini, 15 Februari 2012, memaparkan himpunan buku tentang Abraham Lincoln yang dijadikan dalam bentuk menara.


12 Februari (Ahad) lalu merupakan tarikh kelahiran mantan Presiden Amerika Syarikat itu. Jika masih hidup, usia beliau ialah 203 tahun. Memanglah mustahil ada manusia mampu hidup selama itu. Cuma apa yang saya kagum cara orang Barat mengenang budi pemimpin mereka, malah didedikasikan penghargaan terhadap Lincoln dalam bentuk keilmuan juga.


Mereka secara rasminya membuka Ford's Theatre Centre for Education and Leadership di Washington sempena tarikh kelahiran Lincoln. Lokasi itu juga merupakan tempat di mana Lincoln mati dibunuh. Dengan kos sebanyak AS$60 juta, pusat ini mengumpulkan ratusan artifak dan gambar tentang Lincoln, termasuklah tiga menara "Tower of Books" yang terdiri daripada 15,000 judul yang mengisahkan tentang diri Lincoln - yang diterbitkan sejak 150 tahun lalu.


Saya sendiri teruja cara mereka menghargai pemimpin ulung ini. Menara itu bukanlah hanya sekadar hiasan, tetapi pelawat boleh melihat semua buku tersebut untuk mendapatkan gambaran bentuk pentadbiran Lincoln menerajui Amerika Syarikat. Caranya, pelawat perlu menaiki tangga kaca yang melingkari menara buku ini.


Cara orang putih lakukan ini sangat elok untuk kita contohi. Sudah-sudahlah Arkib Negara bina memorial yang hanya dipenuhi kereta yang bukan asli pun. Za'aba pun rasanya boleh menangis selepas tahu Muzium Negeri Sembilan menggunakan katil yang tidak pernah pun dia tidur semasa hayatnya. Kata-kata "Apa lagi yang dia mahu," kepada Pak Samad pun bukannya "cara" menghargai orang yang berjasa. Namun yang pastinya Lincoln terus tersenyum melihat cara bangsanya menghargai jasa beliau:)

Kredit foto: inhabitat.com.

PETER RABBIT adalah watak arnab bersifat manusia yang digambarkan oleh Beatrix Potter melalui bukunya, The Tale of Peter Rabbit pada tahun 1902. Karya ini menjadi sangat terkenal sehingga kini dan ia diangkat sebagai salah satu kisah klasik kanak-kanal yang terulung di United Kingdom.


Pada tahun 1992, Peter Rabbit diadaptasikan dalam bentuk animasi untuk BBC dengan judul The World of Peter Rabbit and Friends, dan sebelum itu ia juga muncul dalam filem balet, The Tales of Beatrix Potter pada tahun 1971.

Pada akhir tahun penerbitannya sahaja, 28,000 naskhah telah dicetak. Menurut rekod (tidak rasmi), karya The Tale of Peter Rabbit telah terjual lebih 45 juta naskhah di seluruh dunia. 


Siri Peter Rabbit ini termasuk yang lain (antaranya The Tale of Benjamin Bunny, The Tale of the Flopsy Bunnies, dan The Tale of Mr. Tod) juga direkodkan telah terjual lebih 151 naskhah dan diterjemahkan kepada 36 bahasa dunia.


Namun dalam kehebatan karya tersebut yang terus kekal malar, tidak banyak orang yang mengetahui Beatrix Potter telah banyak menerima SURAT GAGAL TERBIT daripada beberapa penerbit semasa mula-mula mengusulkan penerbitan manuskrip tersebut. Disebabkan itu, beliau nekad untuk menerbitkannya sendiri dengan cetakan yang terhad.

Beatrix Potter
Selepas melihat cetakan sendiri Beatrix Potter itu, barulah penerbit Frederick Warne mengubah fikiran dan bersetuju untuk menerbitkannya dalam bentuk cetakan berwarna.


.... Kisah Beatrix Potter ini tidak jauh bezanya dengan novel Harry Potter. Penangan Potter agaknya.

Banyak perubahan yang kini melanda dunia buku. Sedang orang Malaysia beria-ia mengajak untuk berubah cara pembacaan kepada bentuk e-buku (baca di iPad/Kindle/Kobo), tidak kurang juga yang masih berjuang mempertahankan penerbitan buku fizikal.


Salah satunya adalah Espresso Book Machine (EBM) yang pernah diangkat oleh majalah Time sebagai antara hasil penciptaan terbaik bagi tahun 2007 (baca di sini).

EBM ini berfungsi untuk menghasilkan pembentukan sebuah buku fizikal bergantung pada pilihan pembaca. Melihat namanya sudah cukup untuk menyatakan sesebuah buku boleh dihasilkan dalam masa yang pantas. Dalam masa tiga minit, EBM boleh mengeluarkan sebuah buku berwarna setebal 300 halaman - yang rasanya tidak ubah seperti dihasilkan di kilang cetak.


Mesin ini sebenarnya sudah banyak diguna pakai di perpustakaan utama dunia dan beberapa universiti antaranya di Perpustakaan Alexandria (Mesir), Perpustakaan Awam New York, University of Michigan Library dan lain-lain.

Realitinya, EBM sangat sesuai untuk penulis terbitan sendiri. Sekurang-kurangnya tidaklah si penulis itu mencari-cari penerbit untuk menerbitkan manuskripnya.