Gambar di atas ini dirakam oleh Alif Firdaus Azis yang dimuat naik ke Facebooknya. Saya masih ingat lagi buku ini dibeli di Popular Wangsa Walk Mall bersama-sama isteri, dan terus menulis sedikit catatan di title page buku itu. Cuma saya bingung bagaimana buku ini boleh "terlepas".

Menulis sedikit catatan di buku sudah menjadi tabiat saya sejak dulu. Saya akan menulis dengan siapa saya membelinya, apakah aktiviti yang dilakukan sebelum dan selepas membeli buku itu. Ada kalanya, saya akan meminta sesiapa yang bersama-sama saya ketika itu (biasanya isteri) untuk menulis sebarang ayat di buku yang dibeli itu.

Saya menganggap cara ini membolehkan saya mengingati semula apakah peristiwa yang pernah saya lakukan suatu masa dulu. Mencatat "sejarah" ini memang bagus, tetapi mungkin juga perlu berhati-hati mencatat. Ada juga beberapa buku yang saya catat bersama-sama orang ini atau orang itu (baca: kawan [Ya... ada kawan perempuan]), yang akhirnya kini dibaca oleh isteri.

Mujur isteri saya faham semua itu hanya sejarah silam (walaupun Hamka kata, "Sejarah tidak mungkin berulang, tetapi perangai manusia itu mungkin berulang"). :) Perkataan "mungkin" itu memberi maksud ketidakpastian (ayat selamat).

Selain menconteng apa-apa sahaja di bahagian tengah title page itu, di bahagian kanan atas title page itu akan dicarit tandatangan, tarikh pembelian, lokasi pembelian, dan harga buku. Kalau ada diskaun pun ditulis jumlah harga selepas diskaun. Biasanya saya akan mengecap buku tersebut dengan "mohor" nama di tempat bekerja.

Namun jenuh juga kalau membeli banyak buku, sebab perlu dicatat semua buku itu. Biasanya semasa Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur, saya akan jenuh untuk mencatat satu persatu buku.

Kalau semasa belajar sehingga bekerja di DBP, di belakang buku itu ada dikepilkan resit pembelian buku. Cuma kini tidak lagi, kerana resit pembelian sudah diasingkan di dalam fail khusus. Boleh buat tuntutan cukai! Alhamdulillah mampu bayar cukai & zakat pendapatan...

Kebingungan saya tentang "kehilangan" buku Mat Som dirungkai selepas saya menghubungi Alif. Dia kata buku itu dipamerkan di rak Popular Wangsa Walk Mall semasa dia berhajat membeli buku tersebut.

Baru saya teringat, saya pernah meminta tukar buku itu kepada buku baharu kerana terdapat blank page di beberapa helaian. Saya sudah menyatakan buku yang "rosak" itu telah diconteng, tetapi wanita di kaunter itu kata, "Tidak mengapa". Rupa-rupanya dijual semula buku itu. Mungkin ada pekerja lain yang "terlalu rajin" sehingga tidak dapat membezakan buku reject.

2 komen:

Norziati Mohd Rosman berkata...

Buku reject ini mahal harganya!

Unknown berkata...

Cik Puan Norziati,

Lebih mahal harganya kalau pemiliknya berstatus tinggi. :)