Ombak Rindu, Lagenda Budak Setan (yang betulnya Legenda), Mat Som, dan Puteri Gunung Ledang antara filem Malaysia yang diadaptasi daripada buku/novel dan berjaya (dari segi sambutan penonton/liputan). Lat Kampung Boy Sebuah Muzikal pula diadaptasikan daripada novel grafik menjadi persembahan pentas dan berjaya (dari segi sambutan penonton/keuntungan/liputan).

Tidaklah perlu dibandingkan dengan negara luar, kerana mereka sudah jauh ke hadapan dalam kerja-kerja mengadaptasi novel kepada bentuk filem. The Lord of the Rings, Angels and Demons, Twillight, dan Jaws antara filem terkini yang sangat berjaya diadaptasikan. Kebanyakannya daripada novel, jarang-jarang filem diadaptasikan daripada buku umum.

Cuma tidak lama lagi akan ada filem yang diadaptasi daripada buku umum (ekonomi) yang telah terjual lebih empat juta naskhah di seluruh dunia, iaitu Freakonomics: A Rogue Economist Explores the Hidden Side of Everything tulisan Steven Levitt dan Stephen J. Dubner.

Cuma ia bukanlah diadaptasi menjadi filem per se yang mempunyai penceritaan yang menghiburkan. Freakonomics: The Movie digarap oleh enam pengarah menjadi sebuah filem dokumentari.

Filem ini akan memasuki pawagam Malaysia tidak lama lagi. Saya kurang pasti bagaimana sambutannya nanti. Kalau lihat kepada trelernya, menarik saya untuk menontonnya nanti. Cuma ada banyak wawancara yang mungkin akan agak membosankan.


Sekurang-kurangnya saya tahu bahawa prospek buku umum juga boleh diadaptasikan menjadi filem. Teruja juga kalau-kalau buku Menjuarai Transformasi (Najib Tun Razak) ataupun Sudut Pandang Muhyiddin Yassin boleh difilemkan.

[Dua-dua buku itu terbitan ITBM] :)

0 komen: