Saya terbaca akhbar Utusan Malaysia hari ini, 15 Februari 2012, memaparkan himpunan buku tentang Abraham Lincoln yang dijadikan dalam bentuk menara.


12 Februari (Ahad) lalu merupakan tarikh kelahiran mantan Presiden Amerika Syarikat itu. Jika masih hidup, usia beliau ialah 203 tahun. Memanglah mustahil ada manusia mampu hidup selama itu. Cuma apa yang saya kagum cara orang Barat mengenang budi pemimpin mereka, malah didedikasikan penghargaan terhadap Lincoln dalam bentuk keilmuan juga.


Mereka secara rasminya membuka Ford's Theatre Centre for Education and Leadership di Washington sempena tarikh kelahiran Lincoln. Lokasi itu juga merupakan tempat di mana Lincoln mati dibunuh. Dengan kos sebanyak AS$60 juta, pusat ini mengumpulkan ratusan artifak dan gambar tentang Lincoln, termasuklah tiga menara "Tower of Books" yang terdiri daripada 15,000 judul yang mengisahkan tentang diri Lincoln - yang diterbitkan sejak 150 tahun lalu.


Saya sendiri teruja cara mereka menghargai pemimpin ulung ini. Menara itu bukanlah hanya sekadar hiasan, tetapi pelawat boleh melihat semua buku tersebut untuk mendapatkan gambaran bentuk pentadbiran Lincoln menerajui Amerika Syarikat. Caranya, pelawat perlu menaiki tangga kaca yang melingkari menara buku ini.


Cara orang putih lakukan ini sangat elok untuk kita contohi. Sudah-sudahlah Arkib Negara bina memorial yang hanya dipenuhi kereta yang bukan asli pun. Za'aba pun rasanya boleh menangis selepas tahu Muzium Negeri Sembilan menggunakan katil yang tidak pernah pun dia tidur semasa hayatnya. Kata-kata "Apa lagi yang dia mahu," kepada Pak Samad pun bukannya "cara" menghargai orang yang berjasa. Namun yang pastinya Lincoln terus tersenyum melihat cara bangsanya menghargai jasa beliau:)

Kredit foto: inhabitat.com.

2 komen:

dian nais berkata...

salam,
sangat teruja dengan menara buku ini..

pohon izin untuk memaut blog tuan ke blog saya.. terima kasih

Unknown berkata...

Salam Tuan Dian,

Terima kasih atas pautan tersebut. Saya juga telah memaut kepada blog Tuan.