
Kami memanggil mudir (pengetua) di sekolah menengah dahulu dengan gelaran Ustaz Haji. Nama sebenarnya Haji Jaafar Mundri (Allahyarham).
Suatu malam, beliau memanggil beberapa pelajar termasuklah saya. Kebetulan pula, pada malam itu saya terasa sangat lapar sehingga sanggup "fly" untuk makan di luar asrama. Sehingga kini saya masih menyesal dengan perbuatan jahat itu. Kawan-kawan yang dipanggil, diberikan pesanan, "Tolong jaga asrama, jaga waktu solat semua pelajar." Keesokan harinya, beliau meninggal dunia tanpa sebarang kegeringan.
Semacam sudah menjadi rutin, semasa hayatnya beliau akan memanggil beberapa pelajar datang ke rumahnya pada setiap malam Jumaat untuk membaca
surah Yassin dan bertasbih selawat tunjina dengan menggunakan kacang tanah.
Seusai semua ibadat itu, Ustaz Haji akan menjamu kami semua dengan makanan yang dihidangkan di dalam talam. Apabila makan dengan talam, maka sangat sesuai untuk makan dengan sunah Nabi; dengan tiga jari, duduk bersilang, dan menjilat jari selepas makan. Yang paling penting, makan berempat atau makan berjemaah.
Tidak semestinya makan di dalam talam/dulang dianggap sebagai berjemaah. Maksud makan berjemaah mengikut sunah adalah makan daripada satu sumber secara beramai-ramai.
Ada suatu kisah yang tidak dapat dipastikan kesahihannya, tetapi sangat baik untuk diambil iktibar. Seorang Yahudi terdengar saranan nabi yang menyatakan kebaikan makan berjemaah. Kemudian Yahudi berkenaan pulang ke rumah dan mengajak isterinya untuk bersama-sama makan dengannya, tetapi isterinya enggan walaupun sudah dipujuk beberapa kali.
Maka dengan nada marah, si suami Yahudi itu meninggikan suara, "Mengapa kamu enggan makan bersamaku? Jawab isterinya, "Saya telah memasukkan racun untuk membunuh abang!" Kesan daripada peristiwa tersebut, Yahudi tersebut memeluk Islam tidak lama kemudian.

Tengah hari tadi, rakan sepejabat mengadakan
pot luck atau
juadah bawaan berdasarkan Lembar Istilah Bil. 1/2008 terbitan DBP. Adat juadah bawaan, semua digalakkan membawa makanan untuk dinikmati bersama yang lain.
Di Jepun sudah menjadi budaya pekerja di sana untuk menghabiskan masa untuk makan/minum bersama-sama rakan sekerja seusai waktu pejabat. Selain melegakan tekanan kerja, pada waktu santai itulah mereka akan meluahkan setiap rasa tidak puas hati sama ada sesama mereka ataupun kepada organisasi. Luahan rasa hati ini sekurang-kurang melepaskan tekanan perasaan.
Perlu juga sekali sekali diadakan juadah bawaan di pejabat. Selain merasai masakan masing-masing, makan bersama-sama juga dapat juga mengeratkan persahabatan.
Saya bawa buah pisang dan buah semangka sahaja.