Tahun lepas, ITNM menganjurkan "Malam Sebutir Bintang dalam Kenangan" bagi memperingati jasa SN Usman Awang. Pada 8 Ogos ini pula akan diadakan "Menjelang 75 Tahun A. Samad Said".

Di sidang media tadi ada orang bertanya kepada saya, "Mengapa tidak dianjurkan majlis apresiasi kepada Keris Mas dan Shahnon Ahmad terlebih dahulu?"

Siapa cepat atau lambat bukan menjadi isunya. Contohnya, dalam solat berjemaah kita selalu menjemput orang lain untuk menjadi imam sedangkan kita layak untuk ke hadapan mengimami solat. Jawapan eskapisme, "Awak lagi banyak ilmu agama" ataupun "Ana ada masalah suaralah sheikh."

Yang penting cara kita menghargai kehadiran seseorang semasa hayatnya. Saya sendiri hairan melihat situasi di Malaysia yang sangat gemar menghargai orang lain apabila mereka sudah tiada. Sudirman yang sudah lama meninggal dunia, baru kini diberikan penghargaan darjat Dato'. Saya rasa tidak lama lagi Yasmin Ahmad pun akan diberikan darjat sebegitu, walaupun semasa hayatnya beliau sering dikritik.

Pak Samad memang mempunyai karisma tersendiri sehinggakan orang lain mengenali beliau sebagai Sasterawan Negara (SN), sekali gus gelaran itu ada kelas yang tersendiri. Saya sangat yakin banyak antara kita tidak mengenali SN lain. Mungkin Usman Awang ada orang kenal wajahnya.

Saya pernah melihat Allahyarham SN S. Othman Kelantan berjalan keseorangan, tidak ada seorang pun menegurnya. Di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur yang lalu semasa mengiringi SN Prof. Muhammad Haji Salleh, pun tidak orang yang "teruja" dengannya.

Ini berbalik kepada cara kita mempotretkan diri sendiri sehingga orang lain dapat kenal.

Namun saya kira yang paling penting cara kita menghargai karya semua SN. Mungkin dengan cara membeli buku mereka dan membacanya. Namun bagaimana pula dengan SN Noordin Hassan yang tidak mempunyai novel, tetapi sekadar menghasilkan karya naskhah teater?

Atas dasar itulah sebelum semasa majlis pada 8 Ogos nanti, turut diadakan "Bengkel Penghayatan Karya A. Samad Said" yang dibahagikan kepada bengkel seni pentas, seni tampak, dan seni muzik. Seni muzik akan dibimbing oleh Taja (Meet Uncle Hussain).

Semua karya SN merupakan khazanah persuratan yang perlu selalu disegarkan. Saya mengambil contoh seperti rumah Tunku Abdul Rahman. Sehingga kini bangunan tersebut tersergam indah kerana ia dijaga dengan rapi. Begitulah juga dengan karya SN, perlu selalu kita hidupkan kerana ia mencerminkan citra kehidupan rakyat Malaysia.

Jangan nanti ada orang merungut, di Ubud Writer Bali 2009 orang luar/asing lebih mengenali penulis Malaysia yang tidak membawa citra Malaysia. Inilah realitinya.

5 komen:

N.Faizal-Sukma Pujangga Kecil- berkata...

Tahniah Untuk SN dan penganjur. Semoga Pak samad diPanjangkan umur.

ZulDeanz berkata...

Segak sekali en. Anuar...

.: mama cute :. berkata...

bila le pakcik ni nak potong janggut dia.. sangat rimas teman nengok..ekke

Anuar Manshor berkata...

Tuan Faizal,
Moga-moga Allah makbulkan.

Tuan Zul,
Penipuan kamera! haha

Cikgu Syahidah,
Itulah karismanya!

rafiza berkata...

Saya mengenali semua yang anuar sebut kecuali: SN Prof. Muhammad Haji Salleh
siapa ye?
rasa macam ketinggalan pula..