Beliau percaya faktor penarikan penonton datang ke pawagam untuk menonton filem itu adalah kesan daripada "mulut ke mulut" (mouth to mouth marketing). Tanpa mengeluarkan banyak duit untuk promosi sebagaimana filem Jin Notti mahupun My Spy, Adnan Sempit membuktikan strategi pemasaran secara konvensional (dengan pelaburan tinggi) perlu dikaji semula.
Adnan Sempit adalah filem hiburan semata-mata yang menggelikan hati. Saya dan isteri akan menonton apa-apa sahaja filem terkini di pawagam termasuklah filem itu - walaupun berpeluh dingin (malu) juga beratur untuk membeli tiket. Ya ternyata menghiburkan.

Promosi "mulut ke mulut" tidaklah terbukti berkesan 100 peratus. Sabtu lalu semasa saya dan isteri di Pulau Pinang menghadiri majlis pertunangan kawan baik isteri, Faznur, saya sempat berborak dengan sepupunya yang bekerja sebagai jurujual Perodua. Katanya, sejak pengeluaran pertama Perodua Myvi pada tahun 2005, sehingga kini Myvi mencatatkan rekod penjualan kereta pertama tertinggi di Malaysia. Katanya, Myvi tidak akan dihasilkan lagi pada tahun hadapan, Perodua menghasilkan model baharu sebagai ganti Myvi.
Ironinya, bacalah di mana-mana blog, laman web, ataupun daripada mulut-mulut orang, terlalu banyak ulasan dan kritikan teruk berkenaan Myvi. Kini melambak jugalah orang mengkritik di blog ataupun mulut yang mengkritik Perodua Alza. Realitinya, jualan Alza kini sudah mengalahkan Proton Exora.
Itu kisah "mulut ke mulut" berkenaan filem Malaysia yang dihasilkan kurang 50 filem dalam masa setahun, begitu juga dengan kereta yang dihasilkan Perodua dan Proton yang tidak melebihi tiga pengeluaran baharu pun dalam masa setahun. Bagaimana pula dengan industri buku yang kini mencecah 10,000 judul baharu setahun? Adakah "mulut ke mulut" mampu menjadikan satu buku bertuah daripada 10,000 itu sebagai bestseller?
Sebelum itu, perlu dimaklumi bahawa industri penerbitan adalah bisnes yang bersifat spekulasi. Industri ini diibaratkan seperti permainan yang mengharapkan tuah dan peluang. Bak kata Nicholas Clee, Editor The Bookseller, "Orang selalu bertanya kepada saya berkenaan fenomena mulut ke mulut (melariskan buku), tetapi sukar untuk menerangkannya secara sosiologi kerana situasi itu lebih kepada secara kebetulan dan serendipiti."
Serendipiti dalam bisnes dimengertikan sebagai keuntungan atau manfaat yang datang bergolek tanpa diduga hasil daripada kesan sinergi positif. Sebab itulah kita boleh melihat buku La Tahzan, Ayat-ayat Cinta, A Brief History of Time, dan Sophies World sehingga kini masih lagi menjadi bestseller, walaupun ada orang menyatakan semua buku itu tidaklah sehebat mana.
Yang penting, lebih banyak orang menceritakan kebagusan semua buku itu daripada yang me"negatif"kannya. Namun saya tetap percaya, sama ada filem, kereta mahupun buku, orang akan beria-ia menceritakan/mempromosikan yang bagus-bagus sekiranya ada KUALITI!