Setiap pagi semasa saya keluar rumah untuk ke tempat kerja, akan ada seekor kucing mengiau di rumah jiran saya. Saya tahu, Abang Yatim (jiran) akan memberikan makanan kepada kucing itu walaupun tidak membelanya.

Abang Yatim dan Kak Gie sudah lebih lapan tahun bernikah, belum dikurniakan anak lagi. Baru minggu lepas saya mendapat tahu Kak Gie disahkan mengandung tiga bulan.

* * *

Saya akan membaca buku ala-ala Chicken Soup di dalam kereta, sama ada semasa kesesakan ataupun sementara menunggu isteri keluar dari pejabatnya.

Alahai Pengantin Baru hadiah daripada Encik Armin (Editor Pelita Bahasa) semasa walimah saya. Saya tertarik dengan satu cerita...

Seorang pekerja yang setiap hari melalui laluan Bentong menuju ke Kuala Lumpur. Beliau membawa bekal roti buku yang akan diberikan kepada monyet semasa perjalanannya ke Kuala Lumpur. Beliau akan memberhentikan kereta untuk memberikan roti itu kepada monyet.

Suatu hari, ada sebuah kereta yang memotong laju keretanya. Tidak jauh dari situ, beliau seperti biasa akan berhenti untuk memberikan makanan kepada monyet. Kemudian beliau meneruskan perjalanan sehingga melalui suatu lokasi kemalangan, akibat pokok tumbang. Kenderaan yang terbabit adalah kereta yang memotong kereta lelaki pemurah hati ini.

Bayangkan sekiranya beliau meneruskan perjalanan, mungkin beliau yang terlibat dalam kemalangan itu.

* * *

Saya percaya berbuat ihsan kepada sesama manusia termasuk dengan haiwan pasti akan dibalas baik.

5 komen:

ikan emas berkata...

Kisah teladan :
seorang perempuan yg kuat amal ibadatnya tetapi mendera seekor kucing dan seorang pelacur yg sanggup menghulurkan kasutnya utk memberi minum seekor binatang.Tuhan memberi balasan syurga terhadap si pelacur !!

mariahsj berkata...

Buat baik dibalas baik. Kak ton ada kenal orang yang suka buang kucing, walaupun kucing itu adalah kucing jirannya sendiri. Anak-anak jirannya sukakan kucing, menangislah mereka sebab rindukan kucing-kucing tu. Tak tahulah nak kata apa-apa lagi...

bayan berkata...

Saya pernah hampir-hampir kemalangan. kepala terhantuk sedikit dengan stering semasa mahu menghadiri bengkel Puan Ainon. Saya ceritakan hal itu kepada beliau apabia dilihatnya muka saya pucat lesi. Katanya, mujur saya tiada apa-apa dan itulah berkat kebaikan yang saya buat pagi tersebut. Ya dalam berfikir, saya setuju dengan itu.

Setiap perkara bukan kebetulan. Tetapi telah dirancang dan dipercaturkan oleh Tuhan. Wallahu a'lam.

madulebah berkata...

baru tak baru lah rumah mak saya ada ular tedung masuk. mak x perasan pun. tapi cukup pelik sebab kucing yang mak bela asik dok je kat tepi mak macam guardian. sampai ke senja baru sedar ada ular.

bukan sekali kucing tu jumpa ular.. dah beberapa kali..

oleh sebab itu, walaupun kadang-kadang kucing tu menyakitkan hati sebab suka berak merata-rata dan terasa nak je buang, tapi bela jugak lah sebab dah banyak kali tolong mak yang dok sorang-sorang

Anuar Manshor berkata...

Ikan Emas,
Itu antara kisah teladan terkenal yang melibatkan haiwan.

Kak Zaiton,
Kak Zaiton membela kucing. Mungkin itu antara sebabnya hidup Kak Zaiton sentiasa berkat:)

Cik Bayan,
Saya percaya itu berkat mencari ilmu.

Cik Hanida,
Hanya haiwan yang mempunyai deria itu. Syukur Allah mengurniakan rasa "kepunyaan" kepada kucing itu.