Seminggu lagi umat Islam akan merayakan Aidilfitri.

Sejak tiga minggu lalu, banyak pengusaha barangan sudah bertungkus lumus menyiapkan segala barangan untuk dijual sempena raya.

Si tukang kayu akan merealisasikan segala rekaan terbaharu sofa dan meja makan. Si tukang jahit baju atau langsir sudah mula menyasarkan untuk menyiapkan sekurang-kurang tempahan tiga pasang baju dalam masa sehari. Si pembuat kuih sudah pun mengisi semua kuih yang telah dibakar ke dalam balang untuk dijual di merata tempat.

Begitu jugalah kilang cat yang awal-awal lagi telah menguar-uarkan cat keluaran terkini di TV (menaja ramalan kaji cuaca) mahupun di akhbar. Si Bangla penjual permaidani pun tidak kurang hebatnya melabur beribu-ribu ringgit untuk mendapatkan slot iklan di TV. Jual karpet pun boleh iklan di TV. Hebat sungguh!

Rasanya hasil pendapatan peniaga sempena musim raya boleh menjadikan mereka "berehat" lima bulan lamanya. Kalau ditanya peniaga di Tanah Suci, hasil jualan semasa musim haji sahaja boleh menyebabkan mereka "hidup" untuk setahun lamanya.

Begitu jugalah dengan penerbit buku (industri buku?). Pada setiap tahun hanya ada satu musim sahaja yang akan ditunggu-tunggu oleh penerbit buku, iaitu Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL). Biasanya berlangsung pada April pada setiap tahun. Pada 2010, ia akan diadakan pada 19-28 Mac 2010. 19 Mac hari lahir saya:)

Biasanya dua atau tiga bulan sebelum pesta itu, semua penerbit telah menghantar semua buku terbitan terkini ke kilang cetak untuk diterbitkan sebelum PBAKL. Bukan satu dua penerbit sahaja, tetapi semua penerbit tidak kira penerbit buku politik, bahan picisan, yang akademik mahupun yang berbentuk popular sangat sibuk pada tempoh itu.

Memang pada masa itu semua penerbit meraih untung yang berlipat kali ganda sehinggakan ada yang memberikan bonus dan kenaikan gaji kepada staf. Keuntungan ini bukan sahaja kepada penerbit, tetapi turut melibatkan semua yang terlibat; kilang cetak, syarikat pengiklanan, penjual makanan, dan lain-lain.

PWTC dan jalan sekitarnya sibuk sesak selama 10 hari. Saya pun pernah menaiki LRT untuk ke sana kerana tidak sanggup menempuh kesesakan lalu lintas.

Inilah musim raya bagi penerbit buku Malaysia.

Namun lain pula dengan musim raya bagi penerbit dunia. Pesta Buku Frankfurt (PBF) dianggap sebagai medan dagangan buku yang memberikan keuntungan sepanjang tahun. Tahun ini diadakan pada 14-18 Oktober 2009, menyaksikan China sebagai Guest of Honour. Khabarnya Melaka akan menjadi Guest of Honour di PBAKL.

PBF menjana keuntungan sepanjang tahun kepada penerbit kerana setiap hak cipta atau hak penerbitan yang dijual sebenarnya memberikan pulangan yang panjang hayatnya. Contohnya, sekiranya karya The Prau With the Silent Soul (Faisal Tehrani) dijual kepada penerbit Itali, berkemungkinan besar ia akan menarik perhatian penerbit Sepanyol pula, kemudian Jepun, Korea, dan lain-lain.

Itulah bezanya antara raya di PBAKL dan PBF.

5 komen:

yginsaf4 berkata...

19 mac 2010 nanti hari lahir yg kebaper bro.. ehehe

mariahsj berkata...

Selamat hari raya. Boleh juga jual majalah dan buku balik kampung nanti...sambil makan lemang dan rendang....

ainunL muaiyanah berkata...

eh, kita lahir pada bulan yang sama, beza 5 hari je. :)

Basuh Baju berkata...

selamat hari raya...hehe

Anuar Manshor berkata...

Yginsaf,
Ke-28. Muda lagi:)

Puan Zaiton,
Tidak pernah saya lakukan sedemikian. Biasanya saudara mara akan bertanya cara untuk membeli buku itu dan ini sahaja.

Cik Ainunl,
Tentu berjiwa sensitif pada keadaan, bukan?

Tuan Basuh Baju,
Selamat aidilfitri.