Innalillahi wa inna ilaihi raajiu'un...

Al-Fatihah kepada Senator Prof. Datuk Dr. Ismail Salleh (tokoh ekonomi & akademik) dan Kapten Abdul Halim Abdul Hamid (Pengadil bola sepak tempatan bertaraf dunia) yang meninggal dunia semalam.

Kedua-dua mereka meninggal dunia akibat masalah jantung.

Semalam saya menonton video Allahyarham Ustaz Asri Ibrahim di YouTube yang disiarkan sebagai penghargaan atas usaha dakwah beliau melalui hiburan nasyid.

Bergenang air mata menonton video yang disiarkan sebanyak empat siri itu. Saya memang menggemari alunan suaranya sejak Nada Murni lagi. Malah saya masih menyimpan kemas di rumah Johor hampir semua album kaset Nada Murni.

Allahyarham meninggal kerana masalah jantung, bukan H1N1 seperti yang didakwa banyak orang.

Begitu jugalah dengan Allahyarham Yasmin Ahmad yang pergi menyahut seruan Ilahi beberapa hari sebelum Ustaz Asri, akibat masalah jantung.

Rupa-rupanya rumahnya di SS19 Subang Jaya sangat dekat dengan rumah mentua saya, selang lima rumah. Mentua saya mengenali ibu bapa Yasmin, tetapi tidak menyedari pengarah filem itu merupakan anaknya. Kata isteri saya, "Kalau saya tahu, boleh minta jadi pelakon!"

Sejak dahulu kita menyedari bahawa penyakit jantung adalah "pembunuh" nombor satu di Malaysia, malah penyakit ini mendahului carta penyakit berbahaya, iaitu sebanyak 6500 kes kematian setahun. Lebih banyak daripada kematian disebabkan oleh kecelakaan jalan raya, iaitu 6000 kes.

Mungkin disebabkan inilah kerajaan menubuhkan Institut Jantung Negara (IJN) sehinggakan Sime Darby beria-ia mahu membeli hospital itu. IJN pun baru siap bangunan baharunya, mungkin bagi menampung jumlah pesakit yang semakin bertambah.

Saya akan pergi untuk membuat pemeriksaan jantung. Alasan, "Saya masih muda" langsung tidak sesuai kerana kanak-kanak berumur dua tahun pun boleh mengalami masalah jantung.

Saya pernah berbual dengan jururawat yang bertugas di coronary care unit (CCU). Katanya, "Lelaki paling berisiko menghadapi masalah jantung."

Manakala dalam Journal of Occupational Psychology terdapat satu penyelidikan Occupational sources of stress: A review of the literature relating to coronary heart disease and mental ill health yang mengaitkan kaitan kerja yang stres dengan masalah jantung.

Di laman ini disenaraikan kerja-kerja yang paling stres yang mungkin mengakibatkan pekerja itu mengalami masalah jantung, antaranya polis, bomba, pakar bedah, dan warden penjara. Penterjemah tidak pula termasuk dalam senarai ini.

Yang paling penting adalah mencegah. Maka perlulah kita melakukan seperti yang disenaraikan ini:
  • Berhenti merokok (jangan cuba, tetapi berhenti terus).
  • Amalkan pemakanan sihat (kurangkan makan manis dan berminyak).
  • Bersenam (Mujur rumah saya memerlukan naik tangga, anggaplah bersenam setiap hari).
  • Belajar mengendalikan tekanan.
  • Sentiasa berfikiran positif dan mempunyai motivasi.
  • Jalani pemeriksaan kesihatan tahunan (walaupun masih muda).
Saya pernah membaca satu artikel yang menyatakan sekiranya meminum air sejuk/ais selepas makan akan menyebabkan lemak tepu bergumpal, yang ada kesannya kepada arteri jantung.

Jantung
kita berdenyut 70 kali setiap minit atau 140,000 kali sehari walaupun semasa kita tidur. Kita yang bekerja lapan jam pun sangat memenatkan.

Maka sayangilah jantung kita.

7 komen:

fusarium solani berkata...

Salam,
Anuar,

Sememangnya negara kita kehilangan permata ilmu dengan kembalinya Prof. Ismail. Saya mula membaca tentang beliau ketika berumur 11 tahun atau 12 tahun, ketika itu dihadiahkan guru sebuah buku mengenai insan-insan cemerlang dan berani di Malaysia. Tajuknya sudah lupa.

Mengenai jantung, artikel Anuar bagus sekali. Pada pendapat saya, penyakit ini adalah sejak kebelakangan ini terhasil dari gaya hidup.

Dalam mengubah sikap, masyarakat perlu ada KAP- Knowladge, Attitude and Practice!

Deraksi berkata...

Terima kasih atas ingatan Anuar tentang jantung ni.. penyakit orang 'senang' ni...

Ticer Syah berkata...

sbb itu tak suka minum air berais.. huhu..

alfatihah buat mereka yang pergi meninggalkan kita..

apa pon haritu sedikit terkompius sebab ada orang kata ismail kamus yang meninggal.. rupanya prof ismail..

Unknown berkata...

Satu lagi tip untuk elakkan masalah jantung: kurangkan makan di luar. masak sendiri di rumah, jangan malas. Insya-Allah kita akan dijauhi pembunuh nombor 1 itu...

Basuh Baju berkata...

Prof Ismail ptt diangkat menjadi idola anak muda..org buta pertama dpt doctorate dan mausk world record..

al fatihah

rafiza berkata...

arwah ibu meninggal akibat yang sama juga
jauh di perantauan
kadang terkilan sgt..
jauh mencari rezeki buat keluarga
syahid ganjarannya insyaAllah..
saya yakin itu..
tetapi alhamdulillah arwah ibu selamat dibawa kembali ke malaysia dan dikembumi di sini

arwah ibu seorang yang sihat
menjaga pemakanan
kalau bertemu pasti tak percaya dah pencen orgnya
ramai juga kata kami adik beradik(mgkin sbb sy yang nampak tua)

salah satu penyebab penyakit ini juga adalah tekanan...
oleh yang demikian kita yang hidup ini perlu pandai menangani perasaan sendiri..

walaubagaimanapun saya menerima yang arwah ibu pergi kerana telah tiba waktunya..waktu kita pun telah ditetapkan..cuma kita yang tidak tahu..

Unknown berkata...

Tuan Fusarium,
Cuma terkadang kita menginsafi sebentar selepas melihat kejadian yang tidak diingini berlaku. Semoga kita terus berterusan insaf.

Cik Shida,
Kini orang belum senang pun banyak dihinggapi penyakit.

Cikgu Syahidah,
Cikgu perlu jaga suara. Kalau tidak lari ton di dalam kelas. Haha.

Alamanda,
Semua orang pernah makan di luar.

Tuan "Basuh Baju",
Saya lebih suka "contoh" menggantikan "idola". Ada unsur Kristianiti pada perkataan itu.

Puan Rafiza,
Saya mendoakan semoga ruh ibu saudari dirahmati Allah. Memang tidak diduga bentuk "pemergian" kita. Cuma kita mampu berdoa semoga khatimah kita dalam kebaikan.