Berikut adalah sebahagian daripada pembentangan kertas kerja saya di Persidangan Penterjemahan Antarabangsa ke-12 di Pulau Pinang 18 Ogos lalu yang berjudul "Aplikasi Teknologi dalam Penterjemahan".


Penterjemahan secara elektronik bukanlah sesuatu yang baharu. Ia telah mendapat perhatian secara menyeluruh daripada pelbagai pihak dan organisasi yang berkepentingan. Malah kajian secara mendalam juga telah lama dilakukan, iaitu sejak tahun 1950-an lagi.

Pada masa itu, penyelidikan yang dinamakan Eksperimen Georgetown telah berjaya menterjemahkan 60 ayat dalam bahasa Rusia ke bahasa Inggeris. Walau bagaimanapun, Automatic Language Processing Advisory Committee (ALPAC) mengeluarkan laporan menyatakan kegagalan Eksperimen Georgetown sehingga menyebabkan projek tersebut terus berkubur.


Kini, kita boleh menggunakan Babel Fish (Yahoo!) yang boleh menterjemah lebih 15 bahasa. Begitu juga dengan Bing Translator (dulu dikenali dengan Live Search Translator dan Windows Live Translator) yang boleh menterjemahkan ke 15 bahasa lain.


Babel Fish dan Bing Translator menggunakan program perisian yang sama, iaitu Systran, yang turut boleh menterjemah lebih 20 bahasa dunia.


Program terjemahan webbase yang paling ke hadapan adalah Google Translate yang boleh menterjemah hampir 50 bahasa yang ada di dunia ini. Antara bahasa yang ditawarkan adalah bahasa Indonesia, bahasa Vietnam, dan bahasa Thai. Malangnya Google belum lagi menawarkan bahasa Melayu sebagai salah satu bahasa yang boleh diterjemahkan melalui Google Translate.


Sebelum Google Translate menterjemahkan bahasa Melayu ke bahasa asing, syarikat tempatan, iaitu Linguamatix Sdn. Bhd. sudah membangunkan aplikasi teknologi dalam menterjemahkan bahasa kebangsaan melalui Citcat. Syarikat ini menggunakan teknologi yang dikenal sebagai LinguaBASE, iaitu enjin perisian yang mempunyai daya pemprosesan tinggi bagi proses bahasa terjemahan.

Cuma satu fakta yang tidak dinafikan oleh mana-mana pihak - tidak mungkin sesuatu ungkapan atau ayat dapat diterjemahkan dengan tepat melalui webbase. Walaupun tidak dinafikan bahawa program terjemahan perkataan daripada satu bahasa lain kepada perkataan dalam bahasa lain dapat dibangunkan dengan mudah, tetapi ini tidak bermakna setiap perkataan yang diterjemahkan itu tepat dengan maksudnya.

Maka menyedari hal ini, ITNM mencipta satu program yang dinamakan sebagai e-Terjemahan Dokumen - sebagai alternatif mengatasi lambakan kerja kepada penterjemah. Buat permulaan, program ini menyediakan perkhidmatan penterjemahan dokumen (seperti sijil SPM dan nombor kad pengenalan) terlebih dahulu sebelum bergerak untuk menterjemahkan buku pada masa akan datang.


Walau bagaimanapun, sejauh mana kecanggihan sistem yang dicipta ini, segala urusan penterjemahan di ITNM masih lagi bergantung pada tenaga penterjemah bagi memastikan kualiti penterjemahan benar-benar berkualiti.

Ada satu lagi teknologi penterjemahan yang ditawarkan oleh Google. Akan saya kisahkan nanti.

4 komen:

fusarium solani berkata...

Salam,
Anuar,

Jaki saya dengan kebolehan kamu menulis artikel ilmiah. Harap saya punya waktu untuk menulis sebegini.

Salam ramadhan 1430 H buat Anuar dan isteri. Semoga kalian berbahagia.

Deraksi berkata...

chaiyo! 2x. Tuan Anuar perlu mempengaruh ramai lagi staf ITNM jadi pembentang persidangan selain Tuan dan Big Boss sahaja... Kita 'ITNM' tak patut 'malu' dalam industri sendiri... Kan?

selamat puasa jugak!

Unknown berkata...

Tuan Fusarium,
Tiada apa yang perlu dicemburukan. Saya pun sangat cemburu dengan orang yang mampu menulis buku, yang sehingga kini belum saya lakukan.

Semoga saudara memperoleh keberkatan Ramadan ini.

Cik Shida,
Akan datang bentangkan kertas kerja ya!

Unknown berkata...

Selamat Ulang Tahun Perkahwinan semoga bahagia dan berkekalan.