
Dahulu saya pernah membaca Dewan Siswa. Itupun Abang bawa pulang ke rumah kerana sekolahnya, Sekolah Alam Shah, memang diberikan percuma kepada setiap pelajar. Tahulah juga kewujudan Dewan Pelajar, tetapi tidak pernah membacanya dahulu.
Di UIA, barulah berjinak-jinak membaca Dewan Masyarakat. Itupun sebab mahu "menembusi kubu kukuh" editorial supaya dapat menerbitkan artikel saya. Sepanjang di UIA, pernahlah sekali artikel berjaya diterbitkan di dalam Dewan Masyarakat, yang lain semuanya di dalam Minda. Syukurlah...
Bemula Januari 2007, semua majalah itu diperoleh percuma. Di dalam laci pejabat penuh dengan sembilan majalah DBP, terbaharu Tunas Cipta yang diterbitkan semula, bermakna sudah ada 10 majalah DBP termasuk tiga jurnal. Sengaja tidak mahu dibawa pulang ke rumah. Khuatir nanti ghaib tanpa disedari (mislay).
Biasanya kami akan memperoleh semua majalah itu antara 25-30 hari bulan pada setiap bulan. Ucapan yang biasa didengar semasa diberikan majalah, "Tahniah, Cantiklah kulit, Wah cepatnya siap!" Semua di Bahagian Majalah, tidak kira editorial majalah itu, editorial majalah lain, dan kakitangan pentadbiran akan membelek majalah-majalah yang diberikan.
Kami akan membaca artikel-artikel yang menarik dahulu. Kemudian akan dicari kesilapan sama ada dari segi ejaan, tatabahasa, dan fakta. Yang terakhir, akan dikritik sekiranya reka bentuk majalah tidak menarik. Dalam masa dua hari, ada sahaja yang datang ke meja editorial untuk memberikan ucapan penghargaan ataupun kritikan.
Itulah aktiviti pada setiap hujung bulan di Bahagian Majalah tingkat 20 bangunan DBP. Ada yang sudah 15 tahun di bahagian ini...