Saya sedang sibuk menyiapkan artikel untuk Dewan Kosmik keluaran Ogos 2008. Perlu disiapkan segera memandangkan saya akan bercuti panjang nanti. Tambahan pula pada petang ini saya terlibat dengan persembahan gamelan sempena Majlis Perasmian Sambutan Ulang Tahun DBP ke-52 oleh YB Dato' Razali Ismail, Timbalan Menteri Pelajaran Malaysia. Sejak masuk pukul 8 pagi tadi (selepas bersarapan dengan Rafiq [Penolong Editor Dewan Ekonomi]), saya duduk sahaja di meja.


Tiba-tiba dapat panggilan pada pukul 12.33 tengah hari, "Aku hendak datang jumpa kau sekejap lagi." Jawab saya, "Baiklah jumpa di tingkat lima ya!" Dalam hati, tertanya-tanya sebab Abang Zoy hendak berjumpa pada waktu tengah hari begini. Baru teringat saya pernah memesan album terbaharu kumpulannya, Dewangga Sakti berjudul Mabok Kepayang. Abang Zoy pernah memberikan e-mel yang mengandungi tiga lagu kumpulannya itu, iaitu Mabok Kepayang, Takseem dan Takseem 2. Memang saya berminat dengan lagu-lagu berirama Melayu. Bak kata Tunang, jiwa saya masih lagi utuh dengan semangat budaya Melayu. Walaupun sebenarnya masih ada darah Cina di dalam tubuh badan ini. Arwah nenek (sebelah emak) dahulunya berbangsa Cina.


Kehadiran Abang Zoy ke DBP memang "langkah kanan" kerana dapat bertemu dengan wartawan Meja Sastera Berita Harian, Sheikh Nazmi Yaakub yang kebetulan menjalankan liputan program DBP. Sebelum balik, berpeluang pula bertemu dengan Pengarang Hiburan Harian Metro, Adam Salleh. Saya langkah kanan juga kerana diberikan empat CD; satu saya beli, satu hadiah percuma kepada Tunang, satu untuk dijual kepada orang lain, satu lagi kepada Editor Dewan Budaya. Editor Dewan Budaya, A. Ghapar Abdullah terus sahaja mencoretkan sesuatu dalam perancangan penerbitan majalahnya keluaran Ogos 2008 sebaik sahaja saya menyerahkan CD Dewangga Sakti kepadanya. Katanya, "Saya terus memasukkan dalam perancangan saya!"


Dalam iTunes di komputer riba (di rumah) dan di komputer pejabat (salah guna?) penuh dengan lagu gamelan, zapin, instrumental dan lain-lain. Biasanya lagu gamelan akan dimainkan dengan memakai headset yang digunakan untuk tidur sebelum solat Jumaat. Mungkinkah lagu-lagu Dewangga Sakti yang hampir kesemua ahli kumpulannya senior saya di UIA akan saya gunakan untuk tidur? Tidaklah sama sekali kerana ada orang menyanyi dalam beberapa lagunya. Yang pastinya, lagu-lagu ini akan saya gunakan untuk didendangkan semasa majlis walimah saya di Johor Bahru. Abang Zoy, perlukah dibayar royalti? Di JB tiada apa-apa persembahan, cuma majlis walimah di KL ini sahaja yang ada persembahan gamelan adik-adik UIA. Daripada lima lagu dalam album Mabok Kepayang ini, paling saya suka ialah Tertinggal Kapal Angkasa.


Saya pernah bermain muzik bersama-sama mereka di Pasar Seni. Pada masa itu saya bermain gamelan, mereka dengan instrumen masing-masing. Lagu yang didendangkan pada masa itupun saya sudah tidak ingat lagi. Yang saya ingat, memang penuh dengan eksperimen semua lagu pada masa itu. Kehadiran album ini memang saya nantikan kerana terasa jemu juga asyik mendengar lagu Mohram sahaja. Sudahlah di televisyen (termasuk drama Melayu) ada lagu-lagunya, di dalam pesawat MAS pun ada juga. Alhamdulillah terbit juga album kumpulan Abang Zoy ini. Gembira juga melihat sahabat-sahabat seperti Mat Rock (Irwan) dan Wahyun sudah menyertai kumpulan ini. Abang-abang seperti Abang Mohsen dan Abang Raof memang saya kagumi semangat dalam mengimarahkan muzik tradisional walaupun dari lulusan UIA. Sebab orang kata lulusan UIA ini asyik bernasyid sahaja. Namun kini ada juga yang bermain muzik Melayu walaupun di UIA hanya belajar menggunakan bahasa Inggeris dan bahasa Arab.


Yang paling menarik, album ini murah sahaja. Hubungi sahaja Abang Zoy di Dewangga Sakti.

2 komen:

Dewangga Sakti berkata...

Salam Enche Anuar,
terima kasih.Nanti kita jumpa dan berbual lagi.
Lagu yg pernah kita mainkan di CM tu lagu no.4 .Disusun kembali drpd komposisi asal iaitu gamelan.Ada satu lagu lagi kita mainkan pd ketika itu yg kami masih simpan dlm bentuk video.Gubahan asli juga tajuknya Ribut di Kuala Lumpur. he he
Oh ya! Harian Metro tu namanya Abi kan?bukan Adam Salleh.he he
Wassalam

Unknown berkata...

Tuan Zoy,
Tunang saya suka lagu nombor 3.