Saya mewajibkan diri untuk menonton filem ini nanti, tetapi entah bila akan berada di pawagam Malaysia. Malah saya mewajibkan diri untuk membeli dan membaca semua karya Habiburrahman El Shirazy. Bermula dengan Ayat-ayat Cinta, saya terpaut untuk membaca karya novel Islami karangannya. Khabarnya, filemnya mencatat rekod "pecah panggung" atau terlaris di Indonesia. Malah Presiden Indonesia pun turut "mencemar duli" masuk ke pawagam menonton filem ini. Klik Berita.

Di Malaysia, Ayat-ayat Cinta versi bahasa Melayu juga laris walaupun bahasa Melayunya kurang berkualiti dan banyak individu yang tidak mengetahui kewujudannya di pasaran. Semasa ditemuduga oleh Ketua Pengarah DBP, beliau bertanya, "Apa buku yang sedang awak baca?" Saya menjawab, "Ayat-ayat Cinta oleh Habiburrahman El Shirazy, novel yang kini laris di Indonesia." "Mana bukunya?" Tanya KP DBP. Saya pun menunjukkan buku itu yang kebetulan berada di dalam beg. Kini saya di DBP. Alhamdulillah...

Apabila membaca bukunya, teringat pada novel Tenggelamnya Kapal Van Der Wijck oleh Pak Hamka. Membaca kedua-dua karya sememangnya menginsafkan diri. Semangat untuk mendirikan qiyamullail semakin kuat seusai membaca novel-novel berbentuk sedemikian. Oleh itu, saya tidak malu membacanya di mana-mana sahaja walaupun pernah bos saya menegur, "Mentang-mentang fokus Dewan Kosmik berkenaan cinta, baca buku cinta sahaja," (merujuk fokus DK Februari 2007).

Dunia Barat sudah ke hadapan dalam mengadaptasikan novel menjadi filem. Semua orang tahu Harry Potter diadaptasikan daripada buku J.K. Rowling. Kita pun tahu The Lord Of The Rings difilemkan hasil daripada novel J.R.R. Tolkien. Selain itu, The Jungle Book, Charlie & the Chocolate Factory, Jaws, The Silence Of The Lambs, Transformers, X-Men, Superman, Batman, Spider-man diadaptasikan daripada karya bertulis dan lukisan.

Indonesia sudah bergerak lebih awal berbanding dengan Malaysia. Mereka bukan sahaja menerbitkan filem dari buku-buku yang terlaris, malah buku-buku yang berkualiti tinggi turut dijadikan filem. Menyusul selepas Ayat-ayat Cinta ialah Laskar Pelangi tulisan Andrea Hirata.

Dahulu Malaysia banyak menerbitkan filem sedemikian. Tentu kita masih ingat Mira Edora lakonan Julia Rais. Saya pun pernah menonton filem itu. Itu daripada novel karya Khatijah Hashim. Kita juga mengetahui wujudnya buku Ranjau Sepanjang Jalan, tetapi generasi seusia saya tentu tidak tahu adanya filem berjudul sedemikian walaupun ditulis oleh Sasterawan Negara, Shahnon Ahmad.

Kini projek sedemikian semakin lesu. Karya Lepaskan Kembali Aku ke Laut yang ditayangkan di RTM pun kurang mendapat sambutan. Terfikir juga sekiranya naskhah-naskhah lama seperti Hikayat Merong Mahawangsa, Hikayat Awang Sulung Merah Muda atau Sejarah Melayu dijadikan filem. Mungkin mendapat sambutan seperti sambutan yang diberikan kepada teater Puteri Gunung Ledang.

Ada pihak menawarkan saya menulis skrip cerita hantu.

3 komen:

mohd jamizal berkata...

posting yang baik berkenaan buku buku...saya juga sudah tidak keruan untuk menonton filem ayat-ayat cinta selepas terbacanya mengenainya di dada akhbar tempoh hari bila akan ke panggung ya!

Anuar Manshor berkata...

Jamizal,
Saya sudah menontonnya;)

Tanpa Nama berkata...

dear all, saya fay dari bandung. saran saya, tontonlah filem AAC yang versi pawagam, karena filem AAC yang tersebar di youtube dan internet adalah filem yg belum diedit, belum didubbing, gambarnya masih kasar, dan musiknya juga belum diisi sempurna. Kenikmatan menonton AAC hanya akan didapat jika kita melihat di pawagam, itulah formula yg menyebabkan filem ini menjadi fenomena di indonesia, ditonton hampir 4 juta orang!
btw, insyaallah tanggal 28 april ini filem LOVE (adaptasi filem CINTA) akan tayang di pawagam malaysia. it's a great movie by malaysian, two thumbs up!