Sejak keluar daripada mengendalikan penerbitan majalah, tiada lagi perkataan "PDF" menghantui otak pada setiap bulan. PDF adalah perkataan yang mencemaskan bagi editor yang belum menyiapkan majalahnya mengikut deadline, tetapi tidak bagi editor yang awal-awal sudah siap kerjanya! Saya dulu pernahlah juga beberapa kali tersenyum berbuntang mata kalau orang tanya, "Majalah kau sudah PDF?"

Kini, editor majalah pula bertanya, "Bila nak siapkan artikel?" Bukannya sebab artikel saya menarik sangat sehinggakan editor mahu sangat tulisan saya, tetapi saya yang mahu menulis. Kalau sudah berjanji, maka sangat wajarlah mereka telefon/sms meminta segera dihantarkan artikel.

Sekarang ini memanglah tidak dapat menulis artikel semasa waktu pejabat. Haram! :) Malam pun tidak larat. Yang sempat hanyalah pada hujung minggu. Maka si isteri saya pun terpaksalah menunggu di hadapan TV untuk keluar rumah sehinggalah saya siap menulis.

Gambar di atas adalah artikel yang tersiar di majalah Dewan Siswa keluaran Februari 2011. Terperanjat jugalah apabila editornya, Abd. Ghani Abu menge-melkan PDF artikel itu. Maka perlulah dipromosikan majalah yang menjadi pesaing majalah E@Siswa (Karangkraf).

Artikel itu berkaitan dengan inovasi. Saya percaya setiap hari orang berfikir mahu melakukan itu dan ini. Akhirnya apa yang setiap orang fikirkan itu akan dinilai; sama ada menjana keuntungan ataupun kepuasan. Ada orang mahu melakukan "itu" kerana mahu kesenangan material/duit. Ada juga yang melakukan "ini" kerana mahu kepuasan hidup.

Terus terang, saya masih lagi fasa melakukan "itu" kerana mahukan yang "A". Harap jugalah dalam hidup ini mahu mendapatkan yang "B" itu. Setakat ini, saya mampu memperoleh "B" itu apabila dapat menulis, menyunting buku - dan bahan itu tersiar atau diterbitkan. Rasa puas sungguh!

Apa-apapun, saya bersyukur masih lagi berupaya melakukan itu dan ini sehinggakan dikurniakan apa yang dimiliki kini. Saya percaya dengan ayat tujuh (7) Surah Ibrahim, "Jika kamu bersyukur maka Aku (Tuhan) akan menambah (nikmat) itu kepada kamu. Dan jika kamu engkar maka sesungguhnya seksa Aku amat pedih."