YAB Najib akan merasmikan MAHA 2010 pada hari ini. Acara dwitahunan anjuran Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani itu adalah hasil tangan YAB Muhyiddin semasa beliau menerajui kementerian (pada tahun 2006) yang dulunya orang kata kementerian low class.


Faktanya, MAHA diadakan jauh dari Kuala Lumpur, iaitu di Serdang. Serdang adalah tempat terletaknya cawangan gedung buku terbesar Indonesia, iaitu Gramedia (di Mines) - yang gosipnya tidak berapa untung sangat.

Dewan pameran untuk MAHA adalah seluas 42,000 meter persegi. Kawasan pameran terbuka pula seluas 30 hektar.

Orang ramai yang hadir ke MAHA 2008 adalah sebanyak 1.2 juta pengunjung dengan jumlah pempamer sebanyak 1,197. Sebagai perbandingan, Pesta Buku KL pada tahun 2008 mencatatkan kehadiran pengunjung sebanyak 2.2 juta orang sebelum menurun kepada 1.8 juta orang pada tahun 2009.


Jika benar rekod catatan oleh penganjur Pesta Buku KL, acara tahunan itu lebih banyak mencatat kehadiran pengunjung daripada MAHA - walaupun ia diadakan di PWTC yang seluas 253,000 kaki persegi.

Namun yang kita lihat sendiri hari ini, acara pesta buku yang sangat ditunggu-tunggu oleh sesiapa sahaja pada setiap Mac/April tidak begitu menyerlah impaknya jika dibandingkan dengan MAHA. Hal yang nampak jelas adalah kurangnya promosi Pesta Buku KL.

Saya rasa ia berpunca daripada dua sebab; pertama, mungkin penganjur merasakan dengan promosi ala kadar pun, sudah mencatatkan pengunjung lebih sejuta - jadi mengapa perlu promosi bermati-matian. Kedua, mungkin juga sebab kurangnya peruntukan untuk hal promosi.

Hakikatnya, boleh dikatakan sejak diadakan Pesta Buku Antarabangsa (antarabangsa ke?) Kuala Lumpur, ia tidak pernah gagal dengan jumlah pengunjung dan jualan. Malah boleh dikatakan belum ada pesta buku lain di Malaysia yang mampu menyaingi pesta buku itu. Mungkin sudah tiba masanya penganjur Pesta Buku KL cuba mengambil risiko untuk mengadakan acara itu di tempat yang lebih besar. "Pesta Buku KL sudah sinonim dengan PWTC" tidaklah boleh dijadikan asas. Kalau 10 tahun lagi pun, alasan itu tidak lagi relevan.

Di PWTC kini bukanlah tidak ok, tetapi sudah timbul beberapa masalah yang tidak "sedap" untuk beberapa pihak. Antara pempamer sendiri tidak puas hati dengan jumlah gerai yang diberikan. Pengunjung pun tidak seronok dengan lorong pejalan kaki yang "dipaksa" ke gerai yang terpencil lokasinya. Kalaulah sebegini konsepnya di mana-mana pusat membeli-belah, tentu sudah lama lingkup.

Di MAHA, kemudahan OKU pun disediakan! Yalah... Manalah tahu ada pakcik makcik yang sudah tidak larat berjalan pun mahu melihat lembu kambing ternakan anaknya di MAHA.

YAB Muhyiddin yang dulu pengasas MAHA kini sudah berada di KPM, yang menaungi Jawatankuasa Pesta Buku KL. Besarlah harapan sekiranya YAB Muhyiddin dapat melakukan sesuatu untuk Pesta Buku KL ini. Dalam Radio 24 semalam, saya dengar YB Noh Omar anggap MAHA ini sebagai KPI kementeriannya, mungkin sudah tiba masanya YAB Muhyiddin menjadikan Pesta Buku KL sebagai salah satu KPInya di KPM.

Ehem... Pempamer antarabangsa MAHA adalah sebanyak 22 negara. YB Noh sasarkan jualan tahun ini sebanyak RM15 juta - RM150 juta pula daripada MOU. Ini barulah antarabangsa!

5 komen:

Faizal berkata...

Rasa saya sampai masanya lokasi Pesta Buku ditukar ke kawasan lain yang lebih mudah urusan pergerakan pengunjungnya. PWTC sudah terlalu sesak.

Stadium Bukit Jalil mungkin..

madoka miyajima berkata...

Ya, saya baru terfikir mahu mencadangkan sama seperti saudara Faizal. Sudah tiba masanya PBAKL ditukar lokasi ke kawasan yang lebih luas dan terbuka. Jika dikhuatiri buku rosak sekiranya berlaku hujan jika di buat di kawasan terbuka, mungkin pihak penganjur boleh sediakan booth yang sesuai untuk semua keadaan kepada pempamer.

Anuar Manshor berkata...

Tuan Faizal,
Rasanya Stadium Tertutup Bukit Jalil tidak cukup besar juga. Mungkin Pesta Buku KL perlu dua kali besar stadium itu.

Madoka Miyajima,
Itulah dicadangkan penganjur Pesta Buku KL pergi tengok MAHA. Manalah tahu kalau-kalau mereka dapat inspirasi.

MKriza berkata...

Dimanakah antarabangsanya Pesta Buku Antarabangsa ini? Malah pesta buku ini tidak langsung mencerminkan yang Malaysia adalah masyarakat majmuk. Mana pempamer, pembeli buku kaum Cina dan India?

Ya. pesta buku harus diubah ke lokasi lain agar kita yang mahu membeli buku tidak sesak nafas. Lagipun membeli buku bukannya macam membeli keropok.

MAHA, suatu yang boleh dibanggakan. Syabas!

Anuar Manshor berkata...

Tuan MKriza,
Pesta Buku KL sebenarnya sudah antarabangsa, tetapi belum cukup antarabangsa jika dibandingkan dengan mana-mana acara lain. Contoh terbaik, seperti MAHA.

Saya bersetuju supaya penganjur Pesta Buku KL mencari lokasi yang lebih tenang! Setenang membeli buku di kedai buku...