Sebelum bermula filem Date Night, terpaparlah 18! Sudah tentu akan ada babak lucah yang tidak sesuai untuk tontonan mereka yang berumur bawah 18 tahun. Kononnyalah!

Filem yang dibintangi Tina Fey pastinya akan ada "perbualan dewasa" yang diungkapkannya secara spontan, tanpa skrip.

Dalam sibuk-sibuk Steve Carell dan Tina Fey "membahagiakan" rumah tangga mereka, ada juga diselitkan satu aktiviti yang mereka percaya dapat mengeratkan perhubungan, iaitu perbincangan Kelab Buku.

Perbincangan Kelab Buku dalam filem itu sama konsepnya dengan program Bacaan Buku Menakhoda Zaman oleh Dato' Sri Najib anjuran ITNM di pesta buku yang lalu; seorang membaca, yang lain menyemak buku yang sama. Sama seperti tadarrus Quran semasa bulan Ramadan.

Bezanya cuma sesudah Steve Carell membaca buku itu, dengan spontan ahli kelab buku itu akan memberikan reaksi. Kebetulan pula bahagian buku yang dibaca Steve itu berkaitan dengan "uzur wanita". Maka seorang wanita kawan Tina Fey pun respons tentang "uzur" itu yang berkaitan dengan dirinya. Ahli kelab yang lain turut memberikan pendapat masing-masing tentang bacaan Steve itu. Sama seperti usrah saya di UIA dahulu.

Selamat hari buku sedunia! Saya merayakan di Perpustakaan Kuala Lumpur yang ada "Let's Read Together" dan diskusi bersama Shaharom TM Sulaiman serta Khairusy Syakirin. Esok saya diajak berbincang sekali dengan mereka yang merupakan ahli Komuniti BukuOnline.Org. Khabarnya ada projek berkaitan pembinaan perpustakaan tajaan korporat!