Sejak kebelakangan ini, saya agak jarang mengemas kini blog. Saya dan rakan-rakan agak banyak kerja menguruskan pembabitan ITNM dengan Google Books. Syukur segalanya berjalan baik dan semoga dengan adanya Google Books itu, semua karya sasterawan/penulis Malaysia dapat diantarabangsakan.

Lebih kurang sebulan lagi akan berlangsungnya Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) pada 19-28 Mac 2010. Kini semua penerbit buku sedang sibuk dengan penerbitan buku baharu selain merancang strategi untuk meraih keuntungan semasa PBAKL. Menarik PBAKL tahun ini kerana dewan di seberang sungai dibuka semula sungguhpun mendapat banyak rungutan dua tahun lalu kerana dewan itu tidak dilengkapi sistem pencegahan kebakaran.

Pada pesta tersebut pastinya semua pencandu buku akan berkampung 10 hari di PWTC walaupun segala kemudahan di situ agak daif, terutamanya tandas yang langsung tidak mesra 1Malaysia. Yang saya pasti juga selain pencandu buku, pencuri buku juga telah lama merancang strategi untuk "mengambil" beberapa buku pilihan.


Sekali fikir, memang agak pelik ada orang yang sanggup untuk mencuri buku. Kalaulah pelajar yang mencuri buku, sudah tentu mereka maklum tidak berkat ilmu yang diperoleh. Namun Johnny Depp pernah mencuri buku panduan bermain gitar terbitan Mel Bay semasa berusia 12 tahun. Beliau akhirnya pandai bermain gitar, tetapi sebenarnya dia bukan tahu pun hal keberkatan ilmu.

Detektif Lim yang merupakan seorang artis pun mencuri buku beberapa tahun lalu, tetapi adakah dia tidak mampu membayar harga dua buku yang bernilai RM149.90? Saya berborak dengan Ikhram, Eksekutif Kanan Pemasaran ITNM (baru bertugas-pernah bertugas di MPH dan PTS) berkenaan hal ini. Beliau menyatakan keadaan ini acap kali berlaku di mana-mana kedai buku terutamanya di MPH. Katanya, bukan sahaja artis terkenal, malah banyak orang kenamaan yang pernah mencuri buku. Kata Ikhram, "Mereka saja-saja mencuri buku, atau mungkin hobi."

Cuma ada satu lagi gerombolan (gelaran yang cocok) yang memang kerjanya mencuri, tidak kira apa-apa sahaja jenis buku sama ada yang terlaris mahupun yang berkualiti. Bos PTS, Arief pernah menulis blog berkenaan hal ini. Katanya, mereka mencuri buku untuk dijual semula secara dalam talian (online).

Memang ada benarnya. Ikhram menyatakan modus operandi mereka tidak dilakukan semasa banyak orang di dalam kedai buku, tetapi sebaliknya; semasa kedai buku tidak banyak orang. Mereka akan menyelitkan buku yang telah lama disasarkan ke dalam seluar.

Pencuri buku ini juga sebenarnya maklum berkenaan hal undang-undang. Sekiranya pekerja/pengawal kedai buku dapat mengesan mereka mencuri di dalam kedai buku, ia masih lagi belum menjadi kesalahan. Apabila mereka melangkah keluar dengan buku yang dicuri, pada masa itulah mereka boleh ditahan.

Pekerja/pengawal kedai buku sebenarnya sudah mengecam wajah semua pencuri buku. Kadang-kadang mereka siap bertegur sapa dengan pencuri buku. Malah ada kalanya buku yang diselitkan di dalam seluar dikeluarkan dan diletakkan di rak semula di hadapan pekerja/pengawal kedai buku. Asasnya, selagi tidak melangkah keluar kedai dengan buku yang dicuri, selagi itu tidak boleh ditahan.

PBAKL adalah lubuk utama pencuri buku. Bagaimana mahu menahan mereka sedangkan setiap penerbit di PBAKL tidak ada mesin pengesan kecurian. Petugas jualan pula pasti tidak sempat memantau satu persatu pengunjung yang datang. Setakat satu dua buku yang dicuri, mungkin boleh sahaja dihalalkan, tetapi penerbit mana boleh tahan kalaulah mereka mencuri The Epic of Hang Tuah yang bernilai RM250 sebuah!

5 komen:

Khairusy Syakirin Has-Yun berkata...

kalau buku itu dilihat sebagai satu komoditi, mencuri itu adalah sia-sia kerana ia hanyalah satu barangan.

Namun, sekiranya buku itu dilihat sebagai satu bentuk ilmu, mencuri itu adalah satu 'rahmat' kerana ia adalah satu hikmat kehidupan.

Belum pernah mencuri buku...hehehe

hans berkata...

haih,buku pun diorang nak curi
ilmu kut

tak sabar tunggu pesta buku

Juma Karamah berkata...

bagaimana pula si pencuri karya asli, dan diterbitkan pulak tu tanpa pengetahuan penulisnya???!!! Seperti pencuri buku, pencuri karya ini juga terkenal! Apakah 'kepuasan' yang dicari agaknya..Ops, sudah pasti bukan ITNM yang dimaksudkan:)

Adliff berkata...

Salam,

Anuar,

Mencuri dasarnya tetap batil. Matlamat tidak menghalalkan cara. Saya diingatkan oleh pensyarah semasa memulakan pengajian di universiti agar tidak membuat fotokopi buku dari kulit ke kulit. Salah katanya. Buatlah salinan apa yang perlu sahaja!

Namun kesukaan untuk memiliki dan membaca buku adalah hikmah bagi yang mengetahui....

(menabung wang untuk pesta buku)

JHaZ KiTaRo berkata...

salam maulidur Rasul dari bumi Dublin, Ireland.. blog walking kejap.. rajin2, jemput laa singgah ke my blog, Aku Sebutir Pasir.. :)