Andaian biasa kita, sekiranya orang itu mengambil jurusan agama (seperti saya) di universiti, dia akan menjadi ustaz. Kalau dia mengambil ijazah undang-undang (seperti isteri saya), dia akan menjadi peguam. Memang isteri saya seorang peguam, walaupun pernah juga bersuara mahu bertukar kerjaya menjadi "suri rumah sepenuh masa".

Begitu jugalah kalau seorang pelajar meminjam PTPTN untuk belajar ilmu akaun, kita akan andaikan dia akan bekerja di bank ataupun Kementerian Kewangan.

Namun kini segalanya tidak semestinya benar belaka. Ada juga orang yang belajar ilmu lain, bekerja bidang lain. Saya ke bidang penerbitan, Nadmin (undang-undang) menjadi PTD, Malie (undang-undang) ke bidang penyiaran, Farid Fauzan (undang-undang) ke bisnes buat jeriji, Ikram (ekonomi) kini orang besar di PTS Publications, Faisal Maksom (agama) pegawai antidadah, dan lain-lain contoh.

Howard Gardner di dalam buku Frames of Mind: The Theory of Multiple Intelligences, menyatakan pendapat bahawa kecerdasan (intelligence) seseorang itu lebih hebat daripada kemahiran ataupun kemampuan. Gardner mengemukakan tujuh bentuk kecerdasan berkaitan teori ini:
  1. Kinestetik-fizikal
  2. Interpersonal
  3. Intrapersonal
  4. Logik-matematik
  5. Muzikal
  6. Spasial
  7. Linguistik
Kecerdasan kinestetik fizikal: Biasanya menjadi doktor, tentera,pelakon, atau atlet. Orang sebegini mempunyai keseimbangan badan yang baik, gagah, fleksibel dan ada gaya.

Kecerdasan interpersonal: Biasanya menjadi hebat sebagai pemimpin, pemidato, jurujual, pengurus atau guru kerana mereka sangat sensitif dan mampu mentafsir "angin" serta gerak hati orang lain.

Kecerdasan intrapersonal: Biasanya menjadi ahli falsafah, ahli psikologi, pakar motivasi, atau saintis. Mereka suka mengkaji orang lain, dan sangat memahami perasaan diri sendiri, kemahuan, kehendak, dan batas kemampuan manusia.

Kecerdasan logik matematik: Tidak lain tidak bukan sudah tentu menjadi pakar matematik, ahli ekonomi, saintis ataupun pengatur cara program komputer. Orang sebegini dianugerahkan kecerdasan untuk memahami nombor, konsep logik dan berfikir secara abstrak.

Kecerdasan muzikal: Ahli muzik, penyanyi, pencipta lagu, juruhebah, atau penulis lirik. Mereka sangat sensitif dengan ritma lagu dan pendengaran bunyi nada. Golongan sebegini juga sangat memahami ekspresi yang diluahkan melalui lagu dan irama.

Kecerdasan spasial: Gardner menggunakan perkataan spasial yang bermaksud ruang yang merujuk kepada individu yang sensitif kepada ruang, warna, dan mampu mengimaginasikan objek secara visual (gambaran). Sudah tentu mereka ini menjadi arkitek, pelukis, pelukis pelan/peta atau jurutera.

Kecerdasan bahasa: Inilah yang saya mahu kongsikan di sini. Sebabnya banyak orang yang hebat mahu menjadi penulis hebat, tetapi akhirnya tidak berjaya. Saya pernah bertemu dengan orang sebegini yang sangat "tajam" pada kesalahan ejaan, suka bermain permainan seperti teka silang kata, suka belajar bahasa asing, dan mempunyai banyak koleksi buku.

Biasanya orang sebegini menjadi pakar bahasa, penterjemah, editor, wartawan, dan penulis hebat. Namun sekiranya pelakon, peguam, guru, dan ahli politik mempunyai kecerdasan ini, ia akan menjadi "nilai tambah" bagi mereka.

Di ITNM, setiap kali ada kursus penterjemahan, kelas senantiasa penuh walaupun perlu membayar RM1200 untuk 10 sesi. Namun yang saya dengar, tidak semua mampu menjadi penterjemah yang baik selepas dilakukan ujian penilaian. Adakah mereka tidak mempunyai kecerdasan bahasa?

Saya pernah bertanya hal ini kepada pensyarah subjek Creative Thinking di UIA, dia kata hal ini bukanlah anugerah, tetapi semua orang boleh membangunkan keupayaannya.

Adakah kecerdasan ini merupakan kriteria penting yang diperlukan oleh organisasi pekerjaan? Apakah antara kita mempunyai kecerdasan seperti yang dinyatakan di atas? Kalau kita sekadar melahu, kita termasuk dalam golongan yang mana pula?

7 komen:

SITI berkata...

Owh, sangat perlu. Saya pernah membaca buku terjemahan Biologi yang sangat teruk. Sangat! Macam nak menangis baca. Jadi sangat tidak faham. Seingat saya, ia diterjemah oleh pensyarah IPT.

Saya sangat kagum dengan orang yang mempunyai kecerdasan bahasa ini.

Sahalfikri berkata...

Memandangkan aku juga ingin tahu kecerdasan diri ini, aku telah mencuba ujian maya ini. Cubalah!
(http://www.mypersonality.info/multiple-intelligences/)

Aku hanya mendapat markah C utk kecerdasan bahasa. Patutlah aku antara golongan tercicir daripada landasan yang dibina Jaafar Rahim.

Unknown berkata...

Cik Siti,
Mungkin sebab itulah banyak orang hanya membaca bidang yang diminatinya.

Tuan Suhail,
Baguslah ujian itu. Aku pun dah mencuba. Jawapannya, aku rasa kau pun tahu.

Sahalfikri berkata...

Tapi aku nak tengok jawapannya juga boleh tak? Ngee..

Unknown berkata...

Tuan Suhail,
Aku lebih kepada linguistik. Mungkin rezeki aku dalam bidang ini.

mnr berkata...

aku pun dah cuba ujian tu, aku macam lebih sesuai buka ladang dan jadi pencinta alam la..

Unknown berkata...

Tuan Nadmin,
Maka aku rasa kau perlu minta pindah ke MOA lah!