Semakin cantik pula kulit hadapan Dewan Kosmik ini. Ada bentuk ala-ala seperti majalah Time pula. Ini merupakan perubahan baik bagi mengenyahkan persepsi orang yang menyatakan majalah DBP "membosankan".

Cuma dari segi mutu cetakan, jualan, dan pemasaran masih lagi belum berubah. Sangat susah mahu mendapatkan majalah DBP di kedai majalah. Majalah Seni Bela Diri pun melambak dijual di kedai mamak.

Dalam keluaran ini, saya cuma sempat menulis ulasan buku. Mengulas buku Wacana Sejarah dan Falsafah Sains yang diselenggarakan oleh Prof. Yusof Othman. Saya mengesyorkan bagi mereka yang terlibat dalam bidang sains dan amat berminat mendalami ilmu Islam untuk membaca buku ini kerana ia diibaratkan seperti rujukan utama untuk bidang sains Islam.

Artikel blog ini merupakan yang ke-401 sejak berblog pada tahun 2007.

Semasa membelek majalah Solusi di Jusco Cheras Selatan semalam, rata-rata penulis majalah itu adalah pemblog (blogger). Antaranya Ustaz Zaharuddin, Irfan Khairi, Ustaz Hasrizal, dan Fazli Yusof. Mereka diberikan kolum dalam majalah atas lentokan hebat menaip kekunci komputer.

Namun saya tidaklah sampai ke tahap sedemikian. Malah apa yang saya tulis tidaklah hebat seperti blog sahabat saya, Azli yang kerap keluar dalam Utusan Malaysia dan Sinar Harian. Malah kerana "kehebatan" blognya itulah dia dibuang kerja. Percaya tak? Haha.

Tapi saya tidak mahu dibuang kerja oleh kerana blog. Maka saya terpaksalah tidak mengkritik atau mencadangkan yang bukan-bukan berkenaan tempat kerja di dalam blog ini. Walaupun hakikatnya dalam buku Shaharom TM Sulaiman, Buku Kekasih menyatakan menulis merupakan terapi yang boleh merawat pelbagai penyakit, seperti semput.

Namun yang saya tidak mengerti sekiranya ada orang mengata kita selalu berblog, sama ada membaca blog orang lain, ataupun mengemas kini blog sendiri. Malah menggunakan Facebook pun ada pihak yang tidak dapat menerimanya. Mujurlah pejabat saya ini belum lagi "mengharamkan" penggunaan semua aplikasi "berjiwa muda" ini walaupun kerajaan sudah mengeluarkan arahan untuk tidak menyalahgunakan harta kerajaan untuk urusan peribadi.

Sangatlah cemburu dengan situasi dan kondisi bekerja Google. Lihatlah cara bekerja mereka di sini yang sangat kondusif untuk menjana idea baharu untuk pembangunan kelangsungan syarikat. Saya pernah menulis hal ini dalam Dewan Ekonomi yang menceritakan cara korporat muda bekerja sehingga boleh menyaingi korporat yang sudah mapan.

Saya pernah bertanya kepada bos PTS, Arief, tentang perancangannya menghadapi masa hadapan di mana semua staf sudah berusia. Beliau juga gusar dengan kenyataan itu. Yang boleh dilakukannya adalah dengan tidak melarang sebarang perubahan yang kini dilakukan oleh staf PTS, walaupun ada antaranya memberikan impak negatif kepada syarikatnya.

Saya ingat lagi semasa minggu pertama di PTS dahulu, beliau bertanya, "Apa blog kau? Kalau tak ada pergi buat blog sendiri."

9 komen:

mariahsj berkata...

Salam,
Tahniah kerana menghasilkan blog yang menarik dan sentiasa aktif. Memang blog memainkan peranan penting dalam pengkaryaan, menyatakan pendapat. Walau bagaimana hebat pun seseorang itu berblog tetapi tidaklah menjadi hebat sekiranya menjatuhkan maruah orang, membuat fitnah, berprasangka buruk dan menyebabkan orang lain terluka. Serta membenarkan cerita-cerita yang memang tidak ada dan tidak ada kebenarannya. Hebatkah itu?
Selamat berblog dan semoga blog anuar sentiasa seperti adanya....

miezi berkata...

saya agak segan kalau teman rapat bertanya soalan sebegitu..Hehe.Selalunya jawapan saya "aku takde blog"..Heh. Apa lah saya ni..

aliff muhammad berkata...

Salam,

Anuar,

Kehebatan berblog terletak pada akhlak blog itu sendiri(baca dengan dua, tiga lapis..:)) Saya sangat memilih blog yang saya baca jika tidak mengenali secara dekat penulisnya.

Berkawan dengan tukang kayu, kena selumbar luka. Berkawan dengan chef, dapat ilmu buat biskut dan roti.

Anuar Manshor berkata...

Puan Zaiton,
Memfitnah melalui blog memanglah tidak beretika. Pencacai yang membuat onar dalam komen blog pun sama. Insya-Allah saya akan menulis yang fakta sahaja.

Tuan Mizie,
Kalau yang dituliskan itu baik, lebih baik dikongsikan.

Tuan Alif,
Benar itu. Ada baiknya membaca perkara yang berfaedah. Yang sebaliknya, cukuplah sekadar ambil tahu.

myadlan berkata...

sekarang ni memang bahaya jugak kalau blogger, berani tulis berani tanggung la. kalau mcm RPK dlu, ada banyak duit xde masalah la kalau kena saman pun.

tapi kadang2 tak best kalau tak luahkan perasaan dalam blog. hehe

Muhammad Azli Shukri berkata...

blog yang baik dan hebat adalah blog yang ditulis dengan ikhlas dan jujur, apa juga risikonya haruslah diterima, rezeki milik Allah, hidup ini harus ada perjuangan. Memang benarlah apa yang aku tulis berkenaan KJ dahulu, akhirnya dia didapati bersalah oleh LD UMNO.

Anuar Manshor berkata...

Tuan Adlan,
Kalau mengikut asal penciptaan blog, memang untuk meluahkan perasaan seperti diari. Tetapi kini berubah menjadi bahan media baharu/alternatif pula.

Tuan Azli,
Kalau aku teringatkan peristiwa "berdarah" itu, aku mesti rasa mahu tergelak. Namun aku bersyukur dapat berjumpa dengan sahabat yang ada pendirian sendiri tanpa gentar.

datoadil berkata...

Saudara Azli dan Saudara Anwar dua-dua orang hebat dan punya potensi maju dikemudian hari. Apa khabar Saudara Anwar?

Khairusy Syakirin Has-Yun berkata...

alamak...belum beli lagi!