Abah dan abang.

Manshor bin Mohd Zain
. Selalu sahaja orang salah mengeja menjadi Mansor. Kata emak, oleh sebab kekeliruan pada nama abah itulah menyebabkan dia "tertolak" daripada mendapat pusaka arwah Atuk Mohd Zain. Wallahu A'lam...

Ejaan jawi pun selalu mengelirukan orang lain. Kerap yang ditulis adalah sebagaimana yang termaktub dalam ayat 3 Surah at-Thur. Sedangkan yang sebenarnya adalah "sod" bukannya "shin".

Abah seorang yang kurang bercakap dengan anak-anak, tetapi sangat rancak berborak dengan rakan seusianya. Mungkin sudah puas bercakap dengan kami semasa kecil.

Secara jujur, hidup saya kini banyak mengikut caranya. Saya suka bertukang sebagaimananya, saya suka mengecat walaupun tidak sehebatnya, saya suka membasuh kereta sendiri walaupun kini tidak lagi (kerana tinggal di apartmen). Kereta abah tidak pernah sekalipun dihantar ke tempat mencuci kereta.

Bezanya, saya tidak seaktifnya. Sudah tentu kerana saya bekerja lapan jam di dalam pejabat berhawa dingin, sedangkan abah siang malam berhujan panas menjaga perairan laut negara daripada penyeludupan.

Abah berasal dari Kampung Panchor, Kota Tinggi. Kini abah selalu berkebun di situ kerana ada lagi dusun buah-buahan yang masih lagi menjadi hak milik keluarga. Itulah aktivitinya bersama-sama emak selepas bersara lebih tiga tahun lalu.

Hakikatnya, abah tidak pernah hidup mewah ataupun terlalu senang. Saya tidak dapat membayangkan betapa dia sanggup berjalan kaki dari Kampung Panchor ke Kota Tinggi semata-mata untuk membeli barang keperluan. Namun tidak pernah dia menjadikan kehidupan keluarga sesukar kehidupannya dahulu.

Namun satu perkara yang saya kagum tentang abah, iaitu kuat membaca. Semasa di majalah DBP, saya tidak pernah ketinggalan membawa pulang beberapa naskhah majalah DBP untuk bacaannya. Selain akhbar, majalah Mastika merupakan kegemarannya. Siap boleh dibuat koleksi lagi. Yang paling saya cemburu ialah tulisannya yang cantik. Dia sangat suka menulis kembali tulisan yang tercetak di akhbar, di akhbar itu sendiri.

Maka tahun lepas, saya menghadiahkannya dua batang pen. Tahun ini, saya hanya dapat mengirimkan baju kemeja melalui pos. Maaf abah, memang sudah merancang dan berhajat untuk pulang. Tetapi ada tugasan yang perlu segera diselesaikan. Rasanya saya sudah menjadi tipikal anak yang bertugas di bandar!

Selamat hari lahir ke-58.

7 komen:

~Imm~ berkata...

owh. abah kamu seusia arwah ayah aku. kalau masih ada lagi, usianya sudah 58 tahun tanggal 29 april lalu.

hans berkata...

sayangilah selagi beliau hidup
jaga dia elok2

Pok Li berkata...

Saya mengucapkan selamat hari lahir juga kepada bapa tuan. Tua 9 tahun dari saya. Saya juga tidak sehebat arwah bapa saya. Bapa saya juga kuat membaca dan berguru. Sebelum dia meninggal dia masih lagi mendalami beberapa kitab agama seperti kitab 'Äl-Hikam'. Gurunya agamanya juga belasan orang. Mungkin gaya hidup antara bapa dan anak ada perbezaan. Kerana zaman juga berbeza

.: mama cute :. berkata...

selamat ulang tahun encik manshor.. yr name is so unique macam citer p.ramlee..nyonya manshor..hehe..

sbb tu anak dia pon unik ;p

muda lagi abah kamu..

abah kami lahir tahun 1937 :)

Anuar Manshor berkata...

Puan Imm,
Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas ruh arwah ayah puan.

Tuan Hans,
Insya-Allah. Terima kasih atas ingatan itu.

Pok Li,
Setiap anak tentu mendambai kehebatan seorang ayah. Kalau berborak dengan kawan, tentu ayah kita yang no. 1. Syukurlah kerana kita masih lagi mempunyai rasa untuk menghargai ayah kita.

Puan Mamida,
Saya setuju nama ayah saya unik, tetapi saya tidaklah seunik robot Asimo! haha.

S.YanaZ berkata...

Nuar,
muda lagi Abah.
Selamat Ulang Tahun Pak Cik Manshor.

mdHazali berkata...

Bagi anak-anak yang menghargai jasa seorang bapa, sememangnya akan sentiasa melihat kehebatan ayahnya.

Kehebatan semangat kudratnya yang empat kerat itu. Juga semangat kental jiwanya dalam memenuhi keperluan keluarga.

Saya yakin anaknya yang seorang ini akan mempunyai jiwa sekental bapanya dalam mengharungi hidup.

Sampaikan salam "Assalamualaikum" saya kepada Wak Manshor. "Di paringi sihat wal afiat selamet dunio ngakhirat."

(Jika benar tekaan saya keluarga tuan keturunan Jawa Kota Tinggi, jika bukan mohon ampun dan maaf.