Assalamualaikum wbt.,

Didoakan agar tuan dan sidang redaksi Dewan Kosmik dalam keadaan sejahtera di bawah payungan rahmat Ilahi.

Pertamanya, saya rasa, masih belum terlewat untuk saya mengucapkan 'Selamat Pengantin Baru' buat tuan dan pasangan. Saya doakan agar rumah tangga yang dibina akan kekal ke akhirat dan semoga tuan, suami isteri dikurniakan zuriat yang soleh dan solehah.

Saya juga ingin merakamkan ucapan tahniah atas inisiatif tuan untuk membuat sedikit ringkasan Dewan Kosmik (DK) setiap keluaran di blog peribadi tuan. Tidak saya nafikan, ringkasan inilah yang mendorong saya untuk mendapatkan DK September dan Oktober 2008.

Tuan yang dihormati,
Baru-baru ini, melalui blog peribadi tuan, ada mencatatkan perihal kehairanan pembaca DK yang merasakan tuan telah menyuntik roh Islami dalam setiap keluaran DK. Alhamdulillah, sebagai pembaca muslim, saya menyokong usaha tuan. Apatah lagi, kini, banyak penyelidikan telah dijalankan dan mendapati bahawa Islam dan sains tidak dapat dipisahkan.
Namun demikian, DK Oktober 2008 sedikit sebanyak mencalar imej Islami yang telah tuan terapkan. Foto yang digunakan untuk artikel "Berubat Dengan Mandi" agak mengganggu saya, seorang pembaca Muslimah.

Saya faham sekiranya apa yang berlaku adalah di luar kawalan tuan. Saya juga berharap agar tuan dapat melakukan sesuatu untuk memastikan agar imej Islami dalam DK terus terpelihara.

Apa pun, sekali lagi tahniah saya ucapkan atas kegigihan tuan untuk memastikan DK tampil dengan isu-isu menarik dan terkini pada setiap keluaran. Hanya Allah yang dapat membalas setiap titis keringat yang tuan curahkan.

Sekian.

Zaharahanum Kamarudin

7 komen:

Unknown berkata...

Puan Zaharah,
Terima kasih atas maklum balas yang puan berikan. Saya amat menghargai makluman puan.

Berkenaan gambar di artikel "Berubat Dengan Mandi", pada mulanya saya terkejut melihatnya. Saya merujuk kepada rakan sekerja yang lebih senior. Dia "meluluskan" atas alasan tidak keterlaluan. Saya mengakui kesilapan sendiri kerana "melepaskan" susun atur artikel sedemikian.

Semoga Allah mengampuni dosa saya ini.

sinaganaga berkata...

Sdr. Anuar,
Saya rasa gambar berkenaan tidak keterlaluan. Gambar perempuan mandi berubat seperti itu selalu tertera di majalah Wanita, Seri, Midi, etc.

Kalau DK adalah majalah indie atau diy - mungkin kita akan letak gambar seekor kucing di dalam tab mandi dan pada caption-nya kita akan tulis "ini sepatutnya gambar seorang pesakit wanita sedang berubat dengan kaedah mandi ais".

Tapi, DK bukan majalah indie atau diy.

P/s: Terima kasih juga kerana tidak 'petik' mana2 gambar orang sedang mandi di dalam bath tab daripada majalah lain dan tulis caption, "gambar hiasan." Degan sebab itu anda telah menyelamatkan syarikat D dan Dewan D daripada membayar saman sebanyak 30 juta, misalnya.

Unknown berkata...

Tuan Naga,
Gambar itu memang tidak keterlaluan. Tapi agak keterlaluan dari segi syariat. Kaedah usul fiqh, "Yang haram tetap haram".

Kerana itulah wanita penghias kulit DK November 2007 memakai tudung walaupun isu fokus berkenaan pembedahan plastik.

Saya mengakui semua kekurangan dan kesilapan.

sinaganaga berkata...

Sdr. Anuar,
Klau kita berpegang teguh kepada 'yang haram tetap haram' - BANYAK woooo majalah kat Malaysia ni 'haram'. Ha ha.

Masalah aurat ni payah - sambil kau buat kerja pun - kadang2 terpaling juga mata tu kat aurat rakan perempuan yang sepatutnya kita tak tengok. :)

Ehhh, hari tu, kenapa tak ambil gambar perempuan bertudung mandi bunga di dalam bath tub? Weh, menarik juga tu sebab tak semestinya berubat mandi ais tu kena buka bajukan, kan, kan? HA HA.

Unknown berkata...

Salam,

Maaf kalau catatan saya ini hanya memanjangkan isu yang telah saya bangkitkan.

Pada pendapat saya, artikel mandi tak semestinya memaparkan individu yg sedang mandi. Boleh juga diambil gambar air bunganya sahaja. Saya rasa, gambar segeluk air dengan kuntuman bunga terapung di atasnya pun sudah memadai.

Jika Tuan Naga berpendapat artikel mandi mesti memaparkan individu sedang mandi (perempuan pula tu) maka fikiran tuan sama sahajalah dengan pembikin iklan syampu rambut, sabun mandi dan buih mandian yang telah berpuluh tahun merajai media tempatan.

Dan dalam artikel ini, ada lebih daripada satu gambar yang tidak sepatutnya telah dipilih utk dipaparkan. Secara tidak langsung, kualiti majalah ini telah turun sama tarafnya dengan majalah2 wanita yg telah tuan nyatakan.

DK telah diangkat secara bersusah-payah sebagai sebuah majalah ilmiah. Saya percaya, secara tidak langsung DBP dan syarikat D kini tidak dipandang sebelah mata dari segi kualiti. Janganlah hanya dengan beberapa keping gambar seperti ini, pembaca DK menganggap DK tidak jauh bezanya dengan majalah2 lain (terutama yang dilabel picisan).

sinaganaga berkata...
Ulasan ini telah dialihkan keluar oleh pengarang.
sinaganaga berkata...

Zaharah,
>>Jika Tuan Naga berpendapat artikel mandi mesti memaparkan individu sedang mandi (perempuan pula tu) maka fikiran tuan sama sahajalah dengan pembikin iklan syampu rambut, sabun mandi dan buih mandian yang telah berpuluh tahun merajai media tempatan.

Eh, bila masa pula saya kata 'mesti'?

"Ini jawapan saya yg terdahulu:
Ehhh, hari tu, kenapa tak ambil gambar perempuan bertudung mandi bunga di dalam bath tub? Weh, menarik juga tu sebab tak semestinya berubat mandi ais tu kena buka bajukan, kan, kan? HA HA."

Maksudnya, saya cakap, visual untuk isu bulan tersebut - boleh dipersembahkan dalam banyak cara lagi! Bubuh lelaki mandi ais pun tak apa.

One more thing, jual shampoo dengan dengan jual majalah DK - agak2 kamulah, mana lebih senang terjual? Ha ha.