"Dunia akan dikuasai jika berjaya menguasai media!"

Itu yang berjaya dilakukan oleh Rupert Murdoch. News of the World ditutup pun beliau masih lagi mampu senyum-senyum sahaja. Kerana beliau masih lagi menguasai Fox TV, New York Post, London Times dan lain-lain.

Begitu jugalah dengan Mark Zuckerberg yang menguasai dunia dengan media Facebook.

Media juga menjadi satu hal tuntutan Bersih 2.0 kerana Pakatan Rakyat tidak diberikan ruang sebagaimana yang diperoleh Barisan Nasional. Perkara yang sama, kerana Pakatan Rakyat tidak menguasai media yang mainstream.

Hal media menjadi KPI saya di ITNM. Dalam setahun ini, unit saya perlu mencapai RM.... juta bagi tahun 2011. Namun alhamdulillah kerana KPI itu sudah berjaya dicapai kerana banyak dibantu oleh pelbagai acara besar seperti pementasan LAT Kampung Boy Sebuah Muzikal dan penyertaan ITNM dalam Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2011. Rakan-rakan wartawan pun banyak membantu menulis/mengkritik ITNM dalam akhbar, TV dan radio.

Namun bagaimana pula KPI media pada tahun 2012 nanti? Itu menjadi cabaran kami!

Ada orang bertanya, kalau return on investment (ROI) tinggi pun, adakah ia membantu jualan buku dan perkhidmatan ITNM? Pengiraan ROI ada caranya. Saya pun mengetahuinya selepas diajar oleh mantan bos saya, Puan Zini yang kini menjadi bos PR di Kementerian Dalam Negeri.

Untuk menjawab soalan orang yang bertanya itu tadi, jawapannya lihat sahaja bagaimana George W. Bush boleh menang dalam pilihanraya Presiden Amerika Syarikat (AS) bagi penggal kedua. Banyak orang menjangkakan anak Presiden Bush yang juga bernama Bush ini akan kalah ekoran kegagalan beliau dalam Perang Iraq.

Walaupun orang kata Bush ini bodoh orangnya, tetapi orang di sekelilingnya sebenarnya bijak belaka. Mereka bijak memanipulasikan media sehingga menjadikan Perang Iraq itu merupakan usaha keselamatan rakyat AS dan janjinya kepada kemakmuran ekonomi. Semuanya dimanipulasikan dengan media. Semua penulisan tentang Bush pada ketika itu akan dihantar kepada pasukan pilihanraya Bush untuk pengesahan, dan disiarkan di beberapa media utama di AS. Akhirnya John Kerry kalah kerana beliau kurang efektif menggunakan media.

Cuma tidak semua orang yang bijak berkaitan media ini boleh kekal lama. Saya ambil contoh Helen Thomas yang telah bertugas sebagai petugas media di White House sejak tahun 1960 pun akhirnya dipecat oleh Presiden Obama. Walaupun rekodnya cemerlang kerana pernah bertugas dengan 10 Presiden AS, hanya kerana kritikan pedasnya terhadap Israel, Obama pun menjadi "kecut" dengan pelobi Israel yang menaikkan namanya.

1 komen:

Deraksi berkata...

hebatlah Nuar.. Tahniah! Semoga lebih berjaya tahun depan =)