Jumaat lalu, jalan raya di KL semuanya sesak oleh kerana orang Selangor yang bercuti (Nuzul Quran) keluar membeli-belah di ibu kota sempena menjelangnya raya.

Disebabkan itulah, saya tersekat hampir setengah jam di Jalan Semarak (selepas mengambil isteri di pejabatnya). Maka terpaksalah berpatah balik menuju ke KLCC - untuk berbuka puasa.

Seperti biasa, kami akan masuk ke kedai buku Kinokuniya untuk membelek-belek buku.

The Epic of Hang Tuah di rak utama.

Setiap kali masuk ke situ, rasa bangga kerana kedai buku tersohor atau eksklusif di KL ini masih lagi terus memaparkan The Epic of Hang Tuah di rak utama di pintu masuknya. Boleh kata di rak windows display utama. Bertambah nilainya lagi, buku itu sebaris dengan buku Jane Austen, Chrismas Carol dan buku-buku import yang dianggap klasik!

Pandangan rak dari luar cermin Kinokuniya.

Isteri saya membeli buku Jane Austen kerana itu bacaan kegemarannya semasa kecil.

Buku sastera Malaysia yang ITNM terjemahkan ke bahasa asing pula diletakkan di rak "Asian Literature". Di situ, buku sasterawan tempatan kita diletakkan sebaris dengan buku karya Khaled Hosseini (penulis A Thousand Splendid Suns atau The Kite Runner), Orhan Pamuk (pemenang Hadiah Nobel Kesusasteraaan 2006) dan lain-lain penulis hebat.


Seingat saya, Kinokuniya tidak pernah mengadakan sebarang diskaun buku. Namun sempena bulan kemerdekaan ini, kedai buku itu memberikan potongan sebanyak 10 peratus bagi setiap pembelian buku melebihi RM150. Dan sekali lagi, buku The Epic of Hang Tuah di windows display untuk ditonjolkan sempena kempen promosi tersebut.

0 komen: