Semalam, saya dan isteri seharian menghabiskan masa berjalan-jalan di Jalan Tunku Abdul Rahman, Masjid India, Pasar Seni, Jalan Petaling (lebih terkenal dengan Petaling Street), dan Jusco Taman Maluri.

Biasanya kami akan berjalan-jalan sebegini pada hari bekerja, tetapi kali ini berlainan pula. Tujuan sebenarnya adalah mahu berjalan-jalan dengan kereta baharu. Kereta apa? Rahsia... Kerana bagi saya kereta adalah liabiliti, bukannya aset yang boleh dibanggakan.

Oleh kerana berjalan sakan, saya hanya sempat membaca akhbar pada waktu malam. Saya tertarik dengan artikel tulisan Zin Mahmud di Mingguan Malaysia dengan judul Dunia Tanpa Buku.

Sejak Zin Mahmud menerajui Mingguan Malaysia, tulisan beliau lebih kurang seperti menulis blog atau pojok. Hasil tulisan beliau diceduk daripada keadaan yang berlaku di sekelilingnya. Tahniahlah! New journalism!

Beliau mengaitkan artikel beliau kali ini dengan inovasi terbaharu Apple, iaitu iPad dengan trend pembacaan buku semasa. Ada logiknya hujah beliau pada kali ini. Ada banyak penulis yang mendakwa trend pembacaan buku akan berubah daripada membaca buku yang tebal kepada Kindle ataupun Nook, tetapi tidak bersandarkan hujah mahupun alasan yang logik. Namun Zin membandingkan trend pembacaan itu dengan perubahan penggunaan telefon.


Ya memang betul kini tidak banyak orang yang memiliki telefon talian tetap di rumah. Cuma kebanyakan pejabat kerajaan sahaja yang ada telefon talian tetap di setiap meja staf. Pejabat swasta sudah lama menggunakan telefon bimbit yang diberikan kepada setiap staf. Yang jelas, kini semua orang ada telefon bimbit, termasuklah pelajar sekolah rendah.

Bukan ini yang mahu saya ceritakan. Bagi saya, daripada tulisan Zin itu, beliau mahu mengajak pembaca supaya tidak statik dengan keadaan yang sedia ada. Pendek kata, jangan selesa dengan rutin harian yang ada. Kalau mahu melakukan perubahan diri atau kerjaya, perlu senantiasa berubah dan mengadaptasi dengan perkembangan terkini.

Namun adakah semua orang mampu berlapang dada untuk mengubah minda? Tindak-tanduk dan perilaku kita tidak akan berubah sekiranya minda tidak bersedia untuk berubah. Sebenarnya isu ini tidaklah menjadi masalah yang besar. Cuma di sudut hati saya, berasa agak terkilan melihat ada segelintir pihak yang tidak bersedia untuk menerima perubahan.

Di akhiran tulisan Zin itu, beliau menyatakan, "Kalau selama ini, seseorang tanpa sebarang alat boleh membaca buku tetapi pada masa akan datang, mereka yang tidak mampu untuk memiliki e-reader akan terhalang daripada peluang untuk membaca buku. Maka golongan ini, akan membaca buku-buku cetak yang sudah ketinggalan zaman."

Senang kata, jika tidak mahu atau tidak berani berubah, bersedialah dan jangan menyalahkan orang lain sekiranya ketinggalan zaman!

5 komen:

Lily Abdullah berkata...

Salam

Kadang saya letih berlari dan menari mengikut rentak zaman.

Tapi terpaksa diusahakn juga bangun,kerana bimbang ketinggalan ilmu.

Ticer Syah berkata...

seperti juga kita beli barang elektronik yang terkini.. lepas aje kita beli, barang yang lebih baru akan keluar.. dan barang kita terus jadi ketinggalan.. hoho.. letih la nak ikut peredaran zaman yang semakin laju nih..hehehe

shahrul manshor berkata...

ipad akan sampai di malaysia bulan mac 2010...harga???

hans berkata...

yups
kalau tidak mahu berubah maka akan ketinggalan

mnr berkata...

kesian org susah yg tak mampu nak beli peralatan berteknologi utk membaca suatu masa nanti..

dianggap ketinggalan zaman pula apabila membaca buku bercetak..