Sudah menjadi rutin, sebelum tidur saya akan set masa penggera di telefon bimbit lima minit awal. Sekiranya hendak bangun pukul 6.00 pagi, saya akan set pukul 5.55 pagi. Begitu jugalah sekiranya hendak bangun pukul 6.30 pagi, saya set masa penggera pukul 6.25 pagi.

Apabila penggera telefon bimbit berbunyi pukul 5.55 pagi, serta merta saya terus set pukul 6.00 pagi. Seperti biasa, saya akan meluruskan badan menelentang seolah-olah jenazah. Masa lima minit itu dianggap sebagai masa kecederaan.

Pukul 6.00 pagi, telefon bimbit berbunyi lagi. Maksudnya saya kena juga bangun. Kalau saya terus tidur, saya akan terus lewat bangun. Namun kerap kepala terasa "berat sangat". Betulkah apabila hendak bangun tidur, serta merta kepala menjadi berat? Teringat teman sebilik di Matrikulasi UIA, Syawal, yang memang betul berat kepala semasa bangun pagi. Katanya, kalau bangun juga, akan kena migrain.

Biasanya berat kepala manusia lebih kurang 7.5 peratus daripada berat badan manusia. Berat badan saya 60 kilogram (stabil sejak SPM). Maksudnya berat kepala saya lebih kurang 4.5 kilogram, tetapi tidak pernah pula saya timbang. Sekiranya berat badan manusia 90 kilogram, berat kepalanya ialah 6.75 kilogram.

Ada banyak "benda" yang menyebabkan kepala mempunyai berat sedemikian. Kepala kita mempunyai 22 tulang; iaitu lapan tulang kranium yang melindungi otak, dan 14 tulang di muka.

Faktanya, kita mesti letih apabila menegakkan kepala kerana ia berat. Tidak pastilah pula apabila tidur, kepala bertambah berat. Namun kalau orang tidur semasa khutbah Jumaat, pasti terlentok ke kiri, ke kanan, ke hadapan, malah ada yang terus terlentang ke belakang. Itu memang betul kepalanya berat sebelah.

2 komen:

Tanpa Nama berkata...

alangkah bagusnyer boleh bgn jam 3 pagi everyday utk solat tahajud kan without fail..sy tersangat liaattt..

Unknown berkata...

Fadhilah,
Saya ada buku "Terapi Solat Tahajud". Mahu pinjam?