"Teater yang sebegini aku mahukan!" Kata sahabat yang pernah duduk sebilik di UIA, Niswan.

Saya bersama Niswan baru sahaja menonton Teater Rakyat yang dianjurkan oleh Dewan Bahasa dan Sastera di hadapan Stor Teater DBP. Pada malam ini dipersembahkan Teromba dan Mek Mulung. Persembahan ini diadakan dalam bentuk yang santai. Hanya ada pentas untuk persembahan, manakala kerusi bertingkat untuk penonton yang hanya beratapkan bumbung serta berhawakan udara semula jadi.

Teromba yang berasal dari Negeri Sembilan dipersembahkan oleh Dato' Dr. Rosli Saludin dari Jabatan Kesusateraan Melayu, UPSI bersama anaknya. Teromba adalah ungkapan berirama yang biasanya berkenaan adat sebagai panduan atau amalan adat sesuatu masyarakat. Ia adalah sejenis puisi bebas yang mempunyai bentuk lain seperti pantun, syair, rubai dan talibun.

Manakala Mek Mulung yang dipersembahkan oleh Kumpulan Seni Mek Mulung dari Kedah ini adalah adunan kesenian yang menggabungkan unsur-unsur lakonan, nyanyian, tarian dan muzik. Saya pernah menonton Mek Mulung di Dewan Filharmonik Petronas. Tetapi persembahan malam ini tidak kurang hebatnya.

Esok malam pula giliran Randai dan Bongai bagi mengisi slot Teater Rakyat malam kedua. Terasa rugi tidak dapat hadir kerana saya ke Langkawi pada esok hari. Program ini akan diadakan pada setiap bulan bagi memartabatkan seni budaya Melayu. Bentuk teater yang santai ini diharapkan dapat mengimarahkan lagi dunia teater daripada dimonopoli oleh teater asing.

Siapa kata DBP mandul idea?

0 komen: